Abah ubah keputusan, pimpin sepenggal lagi

SHAH ALAM 25 Nov. – Selepas 24 jam berteka teki mengenai keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Bersatu, akhirnya Muhyiddin Yassin  memutuskan untuk bertahan sepenggal lagi.

Keputusan itu dibuat setelah mendapat restu isterinya,  Noorainee Abdul Rahman untuk terus memimpin parti berkenaan serta demi parti, agama, bangsa dan negara.

“Sebenarnya kuasa yang paling besar bukan daripada sesiapa pun, tetapi isteri saya (Noorainee).

Isteri saya hadir (di perhimpunan Bersatu) sejak beberapa hari lalu dan dia duduk sampai akhir…Hari ini pun sama. Dia ada mesej saya. Apa isteri saya kata? Stay another term (kekal satu penggal lagi). They need you (Mereka perlukan awak). Mereka ikhlas yang (panggilan merujuk Muhyiddin).

“Saya jawab, saya kata yes i know (ya satu tahu). Isteri saya cakap – carry on (teruskan), saya restu kerana Bersatu still need you (masih memerlukan awak), masih belum kuat katanya.

Jadi saya jawab kepada dia, saya kata baiklah, saya akan kekal sehingga akhir penggal. Kemudian dia (isteri) saya jawab Alhamdulillah. Dia cakap terima kasih dan ini untuk negara. Abah must stay on (mesti kekal).

“Jadi saya nak nyatakan atas niat baik semua, barisan pimpinan dan semua (perwakilan) di sini dan (ahli) di luar… Saya buat keputusan untuk tawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden pada pemilihan nanti,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada Sabtu.

Dewan menjadi gamat dengan laungan daripada perwakilan sebelum Muhyiddin menyambung ucapannya dan meminta ahli-ahli berbaiah taat setia kepadanya.

Dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam semalam, Muhyiddinmembuat kejutan dengan mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan Bersatu tahun depan.

Mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) semalam juga menolak hasrat itu, disusuli perhimpunan yang membuat resolusi mahu Muhyiddin kekal dan ucapan penggulungan pimpinan kanan parti juga menolak keputusan Presiden itu.

Terdahulu, sebelum memutuskan membuat pusingan U itu, Ahli Parlimen Pagoh dalam ucapannya sempat memberi pelbagai alasan bagi mengukuhkan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan itu.

Ini termasuk usia yang meningkat, kehidupan untuk bersama keluarga iaitu anak-anak dan cucu, masalah kesihatan serta mahu memberi ruang kepada pemimpin yang sedia ada menerajui parti.

Walaupun perwakilan tidak bersetuju dengan alasan-alasan itu, Muhyiddin juga menegaskan akan kekal bersama Bersatu dan tidak mahu Bersatu mati dan bersedia menawarkan diri untuk menjadi penasihat parti.

Namun kesemuanya ‘ditolak’ oleh perwakilan dan mereka mahu beliau meneruskan kepemimpinan parti.

Di akhir ucapan Muhyiddin, beliau juga mahu semua ahli MPT dan ahli parti untuk menyatakan taat setia kepadanya melalui ikatan baiah.

Muhyiddin berkata, akujanji itu mustahak supaya semua ahli Bersatu teguh dan setia bersamanya, sekali gus memberi dokongan kepada parti untuk menakluki Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Saya nak ahli berbaiah kepada saya tidak lain dengan nama Allah SWT…Wallahi, Wabillahi, Watallahi akan terus beristiqamah mendokong bersatu supaya berjaya pergi ke Putrajaya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment