2023 tahun paling panas

PARIS: Pemantau iklim Copernicus Eropah, menyifatkan 2023 tahun paling panas dalam sejarah, dengan kemarau, kebakaran hutan besar-besaran dan ribut yang memusnahkan sebahagian besar planet ini.

Ini susulan purata suhu global Jumaat lalu lebih daripada dua darjah Celsius berbanding paras pra-industri buat kali pertama dalam rekod.

Timbalan Ketua Perkhidmatan Perubahan Iklim (C3S) Kesatuan Eropah (EU), Samantha Burgess berkata, berdasarkan data sementara, suhu global pada 17 November adalah 2.06 darjah Celsius melebihi purata pra-industri,

Katanya, ini adalah hari pertama apabila suhu global melebihi 2 darjah Celsius berbanding paras 1850-1900.

Perjanjian Paris 2015 menetapkan matlamat untuk mengekalkan peningkatan suhu purata global kepada ‘jauh di bawah’ 2 darjah Celsius mengatasi paras pra-industri, dengan sasaran 1.5 darjah Celsius sebagai kadar yang lebih selamat.

Pakar iklim menggesa dunia supaya menyasarkan had yang lebih rendah untuk mengelakkan kesan iklim yang besar, seperti gelombang panas, taufan besar dan lapisan ais mencair.

Mereka menterjemahkan pemanasan sebagai ‘peningkatan dalam purata global 30 tahun’ berbanding purata dari 1850 hingga 1900.

Iklim semasa dianggap menjadi lebih panas dengan peningkatan hampir 1.2 darjah Celsius berbanding tempoh berkenaan.

Related posts

Leave a Comment