Bekas Panglima ATM calon BN di Kemaman

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Barisan Nasional (BN) menurunkan calon langsung pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, dengan menamakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan meletakkan bekas Panglima ATM berusia 65 tahun itu dipersetujui pimpinan Dewan Tertinggi BN serta pemimpin akar umbi BN di Parlimen Kemaman.

“Dewan Tertinggi BN dan kepemimpinan UMNO dan pengerusi perhubungan sudah membuat kesepakatan bahawa pada kali ini kita akan mengemukakan tokoh luar daripada kepemimpinan UMNO untuk diketengahkan sebagai calon BN di Kemaman

Kita sudah melihat latar belakang di Kemaman pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, biarpun BN tidak cukup kira-kira 27,000 undi untuk menduduki kerusi Kemanan, namun kita merasakan kerusi itu bukan kubu kuat Pas tapi UMNO,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, penampilan calon langsung khususnya bagi PRK Kemanan kali ini bukan pertama kali diputuskan kerana sebelum ini BN  pernah letakkan calon langsung di Parlimen Cameron Highlands iaitu Datuk Ramli Md Noor.

Beliau mengumumkan demikian pada Majlis Pengumuman Calon BN bagi PRK Parlimen Kemaman di Menara Dato’ Onn hari ini.

Ahmad Zahid yakin dengan keupayaan Raja Affandi yang dibesarkan di Kemaman, serta keluarganya di Kemaman.

“(Dari segi) penerimaan jentera belum dibuat kajian, tapi kita yakin daripada maklum balas diterima, pengundi Kemaman akan beri dokongan kepada beliau,” katanya.

Beliau juga berkata, gerak kerja kempen BN bagi PRK Kemaman nanti akan turut disertai jentera dari parti Kerajaan Perpaduan yang lain.

“Saya tidak berhasrat berkongsi strategi dengan media. Kita (parti dalam Kerajaan Perpaduan) sudah bersiap siaga sepenuhnya. Kita penuh yakin, namun bantuan media akan menambah keyakinan kita,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini, dan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November ini.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya negeri membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PROFIL CALON BN PRK PARLIMEN KEMAMAN

Nama: Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor.

Tempat lahir: Kampung Raja Besut, Terengganu.

Tarikh lahir: 20 Jun 1957 (dibesarkan di Kemaman).

Pendidikan sekolah: menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail.

Kerjaya:

• Beliau mengikuti latihan sebagai bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson seterusnya di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungai Besi sebagai Pegawai Kadet.

• Beliau ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 25 Mei 1977.

PERKHIDMATAN TENTERA:

• Memegang pelbagai jawatan sebagai Pemerintah dan Pegawai Staf dalam organisasi ATM.

• Dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral pada 2008 dan memegang jawatan Panglima Medan Tentera Darat, kemudiannya menjawat jawatan Ketua Staff Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai 31 Oktober 2009.

• Dinaikkan ke pangkat Jeneral dan memegang jawatan Panglima Tentera Darat mulai 15 Jun 2013.

• 16 Disember 2016, diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-19.

Isteri dan keluarga: Mendirikan rumah tangga bersama Puan Sri Norlida Abdul Mubin dan dikurniakan tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

 

Related posts

Leave a Comment