KUALA LUMPUR 23 Okt. – Garis panduan baharu mengenai Arahan Pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan penggunaan kalimah Allah akan diteliti dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja minggu ini, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau memberitahu, cadangan garis panduan itu sudah pun dikemuka kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selepas selesai lima sesi libat urus yang diadakan sebelum ini.
“Kita sudah mengadakan lima sesi libat urus, hasil libat urus itu sudah pun kita bentangkan kepada MKI yang dipengerusikan Tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah).
“Saya difahamkan, agenda mengenai hasil libat urus itu sebagai satu cadangan ke arah membina Arahan Pentadbiran KDN baharu dijadualkan akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang antara 25 hingga 27 Oktober.
Hasil perbincangan sudah ada, sudah dibentang kepada MKI dan Sultan Selangor dijadualkan dibentangkan sekretariat MKI kepada Majlis Raja-Raja,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Muhyiddin Yasin (PN-Pagoh) yang ingin tahu mengenai perkembangan terkini isu kalimah Allah.
Saifuddin berkata, KDN akan mengambil panduan hasil daripada mesyuarat Majlis Raja-Raja itu untuk mengadakan garis panduan yang baharu bagi isu penggunaan kalimah Allah.
KDN sebelum ini mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Profesor Malaysia dan Persatuan-persatuan Peguam Muslim Syarie Malaysia.
Ia dibuat susulan keputusan kerajaan dan KDN pada Mei lalu menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah baru-baru ini disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dan Kabinet pada 1986.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 Jun lalu juga menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah Allah yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional serta kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.
