KUALA LUMPUR 23 Okt. – Dewan Rakyat hari ini diberitahu, sebanyak 104 kertas siasatan sudah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini berhubung isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak tanpa mengira parti politik, yang didapati mengeluarkan kenyataan boleh menjejas dan menggugat ketenteraman awam serta membangkitkan kebencian dalam masyarakat.
Katanya, kenyataan dan nasihat Ketua Polis Negara, Razarudin Husain sebelum ini bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R juga adalah satu kenyataan yang jelas.
Saifuddin ketika menjawab soalan Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) turut merujuk beberapa laporan polis berikutan kenyataan yang dikeluarkan khususnya yang melibatkan pemimpin politik.
“Bila disebut (oleh pembangkang) PH (Pakatan Harapan) menolak Islam, menyokong komunis, puak yang khianat dan puak yang menolak raja. Bila masa pula kita (PH) tolak raja. Ini yang diungkap dalam perutusan video ketika kuliah di Masjid Rusila pada 14 Oktober 2022.
Jadi terpaksa aduan dibuat dan disiasat. Dalam konteks inilah Ketua Polis Negara memberikan nasihatnya. Ini konteks dan antara latar belakangnya. Saya ada berpuluh lagi (kenyataan yang dianggap menyentuh isu 3R).
“Kes disiasat, 104 kertas siasatan dibuka di pihak sebelah sana (pembangkang) ada, di sini (kerajaan) pun ada. Saya boleh berikan lagi bahan untuk memaklumkan di sini,” katanya.
Muhyiddin dalam soalan tambahan juga meminta supaya Razarudin menarik semula kenyataan yang menasihat dan meminta mana-mana pihak untuk tidak bercakap dan berhujah berkenaan isu 3R.
Razarudin sebelum ini memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak menyentuh isu 3R, selain menafikan pihaknya bertindak sedemikian termasuk menyiasat beberapa pemimpin politik, selepas mendapat arahan kerajaan.
Dalam hal ini, Saifuddin berkata, siasatan isu berkenaan tertakluk kepada panduan undang-undang sedia ada iaitu di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Perlembagaan Persekutuan.
Menjawab soalan tambahan Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mengenai penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kebencian Kaum khusus untuk menghalang ucapan kebencian, Saifuddin berkata, kerajaan menyambut baik syor berkenaan.
“Itu satu syor yang sangat baik. (Pengenalan) undang-undang satu bab, pokok pangkalnya adalah kita yang memegang amanah sebagai pemerintah. Di luar sana ada 30 juta rakyat yang mahukan negara ini ditadbir dengan baik.
“Cara paling baik adalah mulakan dengan diri kita, kita masuk politik sebagai satu ibadah iaitu menyeru untuk buat perkara baik dan larang buat yang jahat,” katanya.
