PRK Jepak hadapi saingan tiga penjuru

BINTULU 21 Okt. –  Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak yang akan berlangsung pada 4 November ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru termasuk calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

GPS yang mencalonkan Iskandar Turkee, 54, berdepan tentangan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang, 42 dan calon Parti Aspirasi Rakyat (ASPIRASI), Chieng Lea Phing, 62.

Pegawai Pengurus PRK DUN Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey, mengumumkan nama calon-calon berkenaan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Suarah Bintulu , pada pukul 10.30 pagi ini.

PRK DUN Jepak diadakan selepas penyandang kerusi itu Datuk Talib Zulpilip, 72, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada 13 September lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) 18 Disember 2021, Allahyarham Talib memperoleh 6,277 undi mengatasi calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Raba’ah Tudin (2,034), calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Stevenson Joseph Sumbang (587) dan calon Bebas, Tuah Kazan (141).

DUN Jepak bermula pada 1996 dan sejak itu, DUN Jepak diwakili oleh Talib dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hinggalah PRN terakhir pada 2021.

Calon GPS-PBB, Iskandar yang juga anak jati Jepak adalah bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.

DUN Jepak mempunyai seramai 22,804 dengan majoriti pengundi adalah Melayu/Melanau.

Related posts

Leave a Comment