201 kes baharu Brunei Darussalam

BERAKAS 22 Sept. – Dua lagi kematian direkodkan di Brunei Darussalam hari ini, bagaimanapun tidak dikategorikan sebagai kematian akibat Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Dr Md Isham Jaafar.

Kes melibatkan dua lelaki berusia 68 dan 58 tahun, kedua-duanya mengalami beberapa masalah kesihatan.

Pada masa yang sama, sebanyak 201 kes baharu Covid-19 direkodkan yang membawa kepada jumlah kumulatif 5,586.

Bercakap pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, Dr Md Isham berkata, kes kematian melibatkan dua lelaki berusia 68 dan 58 tahun.

Katanya, terdapat 79 kes tambahan bagi 17 kluster aktif yang sedia ada dan melibatkan individu yang sedang dikuarantin yang mempunyai kontak dengan beberapa kes yang sudah disahkan.

Sebanyak 84 kes lagi masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Lima kluster baharu juga direkodkan iaitu Kluster Eden Garden Contractor yang merekodkan 13 kes; Kluster 5404 lima kes; Kluster 5429 sembilan kes; Kluster 5441 lima kes dan Kluster 5445 enam kes.

Satu kluster ditutup selepas tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari iaitu Kluster 495 manakala 100 kluster masih aktif.

Sementara itu sebanyak 93 kes dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 3,770 dengan 1,779 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif di Pusat Pengasingan Kebangsaan itu, lapan kes kritikal dalam kategori lima yang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif (ICU), semuanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ECMO).

Sebanyak 26 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Related posts

Leave a Comment