Buktikan dakwaan Iskandar diugut

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Buktikan! Itu permintaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin baru-baru ini kononnya Ahli Parlimen Kuala Kangsar,  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut supaya menyokong Kerajaan Perpaduan.

Sambil menafikan dakwaan dibuat Hamzah itu, Perdana Menteri berkata tuduhan dibuat itu suatu yang serius dan sepatutnya dibuat laporan untuk disiasat.

“Kalau dia (Hamzah) ada bukti dia kena bawa, tapi apa lagi dia nak kata. Yang saya tahu saya belum jumpa, belum hubungi dan saya tak hantar wakil, tak tahu siapa yang ugut.

“Kalau ada bukti (mengenai dakwaan Ahli parlimen diugut) kena keluarkan dan jangan pakai bebal saja… dan kalau ada (ugutan), ini satu tuduhan serius dia patut bawa laporan dan biar ada siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan pembukaan dan merasmikan Simposium Laluan Ke Arah Kesejahteraan Lebih Baik Untuk Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini Hamzah mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar diugut supaya menyokong kerajaan dan sekiranya enggan, akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata, tindakan menakut-nakutkan Iskandar Dzulkarnain dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

Hamzah mendakwa, pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain dibawa bertemu seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah jika enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan.

Sebelum ini, Gobind Singh Deo (PH-Damansara) meminta Dewan Rakyat memanggil  Iskandar berhubung dakwaan diugut untuk menyokong kerajaan atau berdepan pendakwaan kesalahan rasuah.

Gobind berkata, Dewan Rakyat mempunyai kuasa mengikut Seksyen 4 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar peruntukan Seksyen 29 yang membawa kepada penghinaan Dewan.

Sementara itu Perdana Menteri mengucapkan terima kasih terhadap Iskandar Dzulkarnain yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Saya belum menghubungi dia, telefon untuk berjumpa, tapi lihat dari kenyataan dia saya ucap terima kasihlah (kepada) dia beri sokongan.

“Soal dia nak kekal dengan PN itu keputusan dia, tetapi saya fikir kalau orang lihat umpamanya apa yang kita cuba lakukan dan dasar ekonomi dan merakyatkan, jadi sepatutnya dia bagi satu dukungan yang baiklah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment