Dua juta berdepan masalah air di Gaza

GENEVA: Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mendakwa dua juta penduduk di Gaza kini berdepan ancaman bahaya ekoran hampir kehabisan bekalan air.

“Keadaan sekarang ini antara hidup dan mati. Bahan api perlu dihantar segera ke Gaza untuk membolehkan air dibekalkan kepada dua juta penduduk.

“Sudah seminggu tiada bekalan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza,” kata Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini dalam satu kenyataan

Katanya, penduduk terpaksa menggunakan air kotor dari perigi selepas loji air Gaza dan rangkaian air awam berhenti berfungsi dan keadaan ini akan meningkatkan risiko jangkitan penyakit bawaan air.

Beliau berkata, Gaza juga mengalami gangguan bekalan elektrik sejak Rabu, yang turut menjejaskan bekalan air.

“Dalam tempoh 12 jam, ribuan penduduk hilang tempat tinggal dan terpaksa berpindah ke selatan Gaza. Hampir sejuta orang telah meninggalkan rumah masing-masing dalam tempoh seminggu,” kata Lazzarini.

(Foto UNRWA)

Related posts

Leave a Comment