Howard: Kertas siasatan akan dirujuk ke AG

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merakam percakapan Howard Lee Chuan How bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina agama Islam dengan mentafsir sendiri ayat al-Quran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata rakaman percakapan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu diambil pada pukul 3 petang di Ipoh, Perak mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau berkata, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Pada masa yang sama, Mohd Shuhaily menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak selain tidak menyalahi undang-undang berkaitan isu 3R (kaum, agama dan raja) ketika menggunakan platform itu.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Terdahulu, Howard memohon maaf secara terbuka atas tindakan beliau memetik ayat al-Quran dalam satu video di laman media sosialnya, baru-baru ini.

Pada Jumaat lalu, Mohd Shuhaily berkata pihaknya akan merekod keterangan Howard dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas JSJ Bukit Aman.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata laporan asal atau laporan pertama kes itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Badan bukan kerajaan iaitu Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak turut membuat laporan berhubung isu sama pada Khamis lalu.

Related posts

Leave a Comment