WASHINGTON – Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memberi amaran kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) mengenai dua video palsu baharu yang mendakwa wujud ancaman keganasan dan penipuan pengundi.
Ia susulan penyebaran maklumat palsu yang dijangka meningkat oleh pakar, terutama jika timbul isu ketidakpastian berhubung pemenang selepas hari pengundian pada Pilihan Raya Presiden AS yang berlangsung semalam.
Satu video rekaan kononnya dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa undang-undang persekutuan, memetik dakwaan palsu bahawa wujud ancaman keganasan yang tinggi dan menggesa rakyat AS ‘mengundi dari jauh.’
Kandungan satu lagi video pula merangkumi kenyataan media palsu juga kononnya daripada agensi itu dan mendakwa berlaku pengundian palsu membabitkan banduan dari lima penjara.
FBI dalam satu kenyataan menegaskan kedua-dua video itu adalah palsu serta turut memaklumkan ancaman bom palsu mengganggu sejumlah lokasi pengundian di tiga daripada negeri ‘medan tempur’ pilihan raya kali ini.
Bagaimanapun tiada satu pun daripada ancaman berkenaan dikenal pasti boleh dipercayai, setakat ini.
Sekurang-kurang dua lokasi pengundian yang menjadi sasaran ancaman bom palsu di Georgia, telah diambil langkah evakuasi sekejap, semalam.
Sementara itu, kebanyakan cabaran dihadapi pengundi dilihat lebih menjurus kepada isu lebih remeh seperti terpaksa menunggu dalam barisan yang panjang dan bekalan elektrik terputus.
Di luar bandar Pennsylvania, gangguan perisian komputer turut menyebabkan sebilangan kertas undi tidak dapat diproses susun dengan segera.
