Majlis Pelancongan Islam Sedunia

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Dalam usaha memperkasakan industri pelancongan Islam, haji dan umrah bagi rantau ASEAN, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) bersama dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia memeterai memorandum persefahaman penubuhan Majlis Pelancongan Islam Sedunia.

MoU itu ditandatangani baru-baru ini sempena Persidangan dan Ekspo Pelancongan Islamic Asia (AITEX) 2023 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid baru-baru ini.

Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun, berkata MoU ditandatangani antara pihaknya dengan Asosiasi Muslim Penyelenggara Haji dan Umrah Republik Indonesia (AMPHURI) dan Kesatuan Tour Travel Haji Umrah Republik Indonesia (KESHTURI).

AMPHURI diwakili Ketua Umumnya, H Firman M Nur, manakala KESTHURI diwakili Ketua Umum, Asrul Azis Taba.

Mohd Khalid berkata majlis itu akan dapat menjadikan suara ASEAN lebih kuat dan didengari untuk memartabatkan dan memperjuangkan industri pelancongan Islam termasuk industri haji dan umrah.

“Majlis ini ditubuhkan untuk memperkasakan lagi industri pelancongan Islam, haji dan umrah bagi rantau ASEAN serta berganding bahu antara dua negara yang mempunyai kepadatan penduduk Islam yang tinggi.

Ia sudah tentu membuka peluang perniagaan yang lebih luas dalam industri pelancongan Islam di rantau ASEAN.

“MATA yakin dengan penubuhan Majlis Pelancongan Islam Sedunia lebih banyak lagi NGO dari negara lain seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja akan turut serta menjadi anggota Majlis,” katanya.

Beliau berkata ahli perniagaan dari Asia Barat dan Asia yang hadir ketika Sidang Kemuncak Menteri & CEO AITEX menyambut baik penubuhan majlis itu.

(Foto FB AMPHURI)

Related posts

Leave a Comment