Cadang Keretapi Sarong aktiviti Hari Kebangsaan

KUCHING 17 Sept. – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhasrat menjadikan program “flash mob” atau persembahan kilat berkumpulan Keretapi Sarong sebagai antara aktiviti sempena Bulan Kebangsaan tahun hadapan.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata ia berikutan program berkenaan yang berlangsung semalam mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran 10,000 peserta terdiri daripada pelbagai kaum dan usia.

“Saya berharap tahun depan kita dapat merencanakan lebih banyak program di peringkat Bulan Kebangsaan supaya ia tidak hanya melibatkan kibar Jalur Gemilang sahaja,” katanya selepas sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan di sini malam tadi.

Keretapi Sarong 2023 (KS 2023) yang bertemakan “Etnik dan Perpaduan” bertujuan menyemai semangat cintakan negara walaupun dalam kepelbagaian sempena sambutan Hari Malaysia.

Ia merupakan program anjuran LOCCO iaitu organisasi yang membantu mempromosikan aktiviti kebudayaan menerusi penganjuran Keretapi Sarong sejak 2017.

Pada tahun ini, ia berlangsung serentak di lima bandar utama seperti Johor Baharu (sepanjang Sungai Segget), Kota Bharu (LaRocka Park), Ipoh (KTMB Ipoh) dan Kuala Terengganu (Kampung Budaya Terengganu), serta di Battersea Power Station (London, United Kingdom).

Related posts

Leave a Comment