Pakej Umrah Rahmah tarikan AITEX 2023

PETALING JAYA 14 Sept. –  Ekspo Pelancongan Islamic Asia (AITEX) 2023 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid menawarkan pelbagai pakej umrah dan ziarah melalui beberapa syarikat dan agensi yang mengambil bahagian sehingga esok.

Syarikat yang mengambil bahagian termasuklah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), KRS Travel Sdn. Bhd., Manaseek International, AZ Safir Travel & Tours Sdn Bhd., Suria Excellence Travel & Tours Sdn. Bhd. dan Sarawak Umrah & Hajj Association.

Di samping syarikat pengendali umrah, turut menyertai Hospital Kajang Plaza (KPMC) dan Hospital Pakar An-Nur yang menyediakan pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat sebagai persiapan mengerjakan umrah.

Syarikat pengendali haji dan umrah Andalusia turut menampilkan booth syarikat bersekutu iaitu Fa Izin International Travel & Tours, Maqbul Travel, Mahabbaten Travel, Labbaik Travel, Andalusia Pharmacy, Andalusia Tijarah dan Andalusia Food Industries.

Sementara itu, antara yang menarik perhatian adalah tawaran pakej umrah Rahmah bagi September dan Oktober pada harga serendah RM5,590.

Pengarah Merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pakej umrah Rahmah itu bagi membantu golongan B40 dan golongan kurang mampu untuk menunaikan umrah sama seperti mereka yang berkemampuan pergi setiap tahun.

Katanya, pakej yang bermula Ogos lalu juga diperkenalkan sebagai sebahagian tanggungjawab korporat sosial (CSR) Andalusia berikutan harga tiket dan kos untuk mengerjakan umrah meningkat mendadak selepas pandemik.

Pakej ini ditawarkan pada harga RM5,590 (penerbangan transit Air Arabia atau Oman Air) dan RM5,990 (penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines) dengan antara RM1,300 ke RM1,400 lebih murah berbanding harga pakej asal.

“Perbezaan pakej umrah Rahmah ini adalah dari segi jarak hotel. Jika di Madinah dekat, tetapi di Makkah jarak perbezaan tambahan dengan pakej biasa lebih kurang 350 meter dari hotel,” katanya.

Beliau sebelum itu bersama Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah melancarkan pakej umrah Rahmah Aitex 2023 di sini, hari ini.

Menurut Ida Riswana, walaupun pakej umrah terbabit ditawarkan pada harga serendah RM5,590, namun dari segi layanan, makanan, bimbingan, penginapan semuanya tiada perbezaan dengan pakej biasa.

Menurutnya, Andalusia sudah memperuntukkan lebih kurang RM400,000 bagi menampung kos CSR pakej berkenaan dan untuk pakej September serta Oktober 2023, lebih 100 tempat duduk ditawarkan.

Beliau berkata, selain pelancaran pakej Rahmah, Andalusia turut mempromosikan pakej umrah lain dan pelancongan Muslim dengan diskaun dari RM200 ke RM500 bagi pendaftaran sempena program Aitex 2023 yang berlangsung sehingga esok.

Related posts

Leave a Comment