KUALA LUMPUR 12 Sept. – Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul tampil menjelaskan keputusannya semalam untuk memberi peluang kepada pembangkang membangkitkan isu mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menegaskan maksud untuk memberi peluang pembangkang membangkitkan isu itu di dalam dewan selepas menolak usul yang dibawa bukanlah terhad kepada tempoh waktu tertentu.
“Saya sebut (kepada) Arau dan Machang, saya kata selepas itu (akan beri ruang)…maksudnya dalam enam hari ini, anda boleh bercakap. Saya tidak akan hentikan apabila isu ini dibangkitkan atau boleh bangun, Machang boleh bangun.
Saya tak hentikan. Sebab itu saya mahu bercakap, kalau bukan hari ini, kita ada enam hari (sidang ini)….(kalau) hari ini boleh, esok boleh, itu maksud saya,” katanya.
Penjelasan itu menyusul selepas beberapa anggota Dewan Rakyat pembangkang mempersoal tindakan beliau menamatkan sidang semalam sejurus selesai pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, walaupun sudah berjanji untuk memberi ruang.
Terdahulu, Johari menjelaskan alasan penolakan usul itu disebabkan satu kes duluan, di mana Speaker ketika itu menggunakan peraturan mesyuarat 11(3) untuk menghalang sesuatu usul yang dikemuka di bawah peraturan mesyuarat 18(1) ditolak.
“Saya tolak usul ini sebab ada ‘precedent’ (kes duluan) iaitu pada Julai 2021…Speaker (ketika itu) Tan Sri Azhar Harun sudah menolak usul dikemuka Beruas dan Port Dickson untuk bincang isu tertentu di bawah 18(1) iaitu isu proklamasi darurat.
“Azhar tak boleh membenarkan (usul dibentang) kerana peraturan 11(3) yang menentukan (ketua majlis) adalah Perdana Menteri. Ini adalah sidang khas 11(3) yang menentukan (aturan) adalah Perdana Menteri, jadi itu termaktub dalam syarat,” katanya.
