Raja Permaisuri Agong menitiskan air mata terharu

KUALA LUMPUR 8 Sept. –  Sambutan luar biasa rakyat yang sanggup menunggu dalam hujan lebat menyebabkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menitiskan air mata di dalam kenderaan yang dipandu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Situasi itu dapat dilihat dalam dua rakaman video pendek yang dikongsi melalui Facebook Istana Negara  ketika baginda berdua dalam perjalanan Kembara Kenali Borneo, di Sabah.

Menurut catatan Facebook itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong amat terharu dengan manifestasi semangat dan kasih rakyat yang sanggup menunggu di sepanjang jalan raya meskipun dalam keadaan hujan lebat.

Yang di-Pertuan Agong kemudian memberhentikan kenderaan dipandunya untuk bersalaman dengan mereka yang menunggu dalam hujan.

Dalam rakaman video itu juga, Raja Permaisuri Agong turut melahirkan kebimbangan dengan keadaan mereka yang berada dalam keadaan hujan lebat bersama anak kecil.

“Allahuakbar…tengok ini..anak-anak…mereka masih menunggu mama dan baba di dalam hujan lebat.

“Kita dalam kereta boleh buka tingkap dan lambai tetapi bagaimana dengan mereka di luar sana, bersama anak kecil menangis lagi,” luah baginda.

Baginda turut mendoakan supaya mereka yang menunggu itu tidak sakit dan demam kerana menunggu dalam hujan begitu lama.

“Kami berasa sangat sedih kerana tidak boleh turun menemui mereka…saya sendiri agak basah kerana membuka tingkap tadi berikutan berasa sangat kasihan.

“Apa nak buat, saya tidak tahu hendak buat apa…hanya Allah yang balas,” luah baginda.

Seri Paduka berdua berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 September bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Related posts

Leave a Comment