Myanmar perlu tunai kewajipan ASEAN

JAKARTA 5 Sept. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Myanmar perlu menunaikan kewajipannya sebagai negara anggota ASEAN serta mengikut peruntukan dalam piagam forum kerjasama serantau itu.

Menerusi perkongsian di Facebook hari ini, Anwar turut menyuarakan kekecewaan Malaysia, terhadap kurangnya kemajuan bermakna dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) dan ketidakstabilan yang berterusan di Myanmar.

“Saya tekankan bahawa ASEAN perlu menangani isu Myanmar dalam pendekatan yang diselaraskan, dan agar ASEAN memanfaatkan Rakan Dialognya, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya semasa sesi pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN, di sini hari ini.

Anwar berkata, selain perbincangan mendalam mengenai pelaksanaan 5PC di Myanmar, beliau dan pemimpin serantau turut membincangkan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific.

Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Kemboja yang baharu, Hun Manet dan bertukar pandangan mengenai isu dua hala dan serantau yang berkepentingan bersama.

Pada pertemuan itu, Anwar turut menzahirkan ucapan tahniah di atas pelantikan Manet dan bersetuju untuk meneroka lebih banyak jalinan kerjasama ekonomi, bagi merancakkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Related posts

Leave a Comment