Gelombang rakyat tunjuk kemarahan, tidak puas hati

JOHOR BAHRU 3 Sept. –  Gelombang yang dibawa Perikatan Nasional (PN) ketika ini bukan gelombang hijau sebaliknya gelombang rakyat yang menunjukkan kemarahan, rasa tidak puas hati terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata, gelombang sewaktu enam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini adalah ekoran kesedaran rakyat negara ini bahawa pentadbiran Anwar gagal membantu rakyat, khususnya dalam aspek ekonomi.

Katanya, gelombang luar biasa hasil keputusan eanm PRN itu memperlihatkan calon-calon PN memperoleh lebih 3.9 juta undi daripada keseluruhan 9.7 juta yang boleh mengundi, tetapi dengan hanya 71 peratus daripada mereka keluar mengundi.

Ini berbanding dengan calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 3.4 juta, manakala calon-calon BN tidak sampai sampai sejuta pengundi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, ini membuktikan hanya selepas tiga tahun PN ditubuhkan dengan gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan, PN telah menjadi kuasa politik besar dalam negara.

Katanya PN telah menembusi sebahagian besar kawasan pilihan raya seluruh negara berbanding UMNO yang dilahirkan di Johor hampir berkubur.

“Gelombang yang bermula sejak PRN lalu ini masih lagi berlarutan dan akan sampai ke Johor, MB Kedah kata ia akan masuk menerusi Muar dan gegarkan negeri ini yang dahulunya kubu kuat UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ceramah Perdana PN di Kempas, di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi PN, Dr Dominic Lau; Setiausaha Agung PN,  Hamzah Zainudin; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PN, Dr. Radzi Jidin serta calon PN Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Muhyiddin yang juga mantan Timbalan Presiden UMNO berkata, UMNO hampir terkubur kerana pimpinan yang bernafsu rakus untuk melepaskan diri daripada hukuman dengan bergabung bersama PH.

“Dalam keadaan hari ini UMNO bergabung dengan PH yang ada DAP yang asas perjuangan tidak selari dengan perjuangan orang Melayu termasuk gagaasan Malaysian Malaysia,” katanya.

Justeru, beliau berharap anggota UMNO khususnya dalam kawasan PRK ini supaya menyokong calon PN sebagai tanda menyuarakan bantahan walaupun belum bersedia beralih arah kepada PN.

Muhyiddin juga berharap sehingga 90 peratus pengundi Melayu di Parlimen Pulai akan keluar mengundi bagi membolehkan Zulkifli diangkat menjadi Ahli Parlimen kerusi berkenaan pada 9 September depan.

“Kita sudah tahu siapa pengundi bukan Melayu akan pilih, jadi saya harap pengundi Melayu akan keluar beramai-ramai untuk sokong calon kita, ini bukannya satu kenyataan rasis. Walaupun sebagai pembangkang, kita akan lakukan terbaik untuk angkat suara rakyat, kita akan bela mereka,” katanya.

Pada ceramah itu Muhyiddin turut bertanya apakah perkara yang telah dilakukan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar untuk meningkatkan ekonomi rakyat negara ini.

“Mereka dakwa saya gagal mentadbir, tetapi gagalkah saya, kalau gagal separuh dalam dewan ini sudah tiada rasanya. Saya bertanggungjawab laksana vaksin dan turut berikan bantuan tidak henti-henti sebanyak RM530 bilion yang disalurkan kepada rakyat.

“Sekarang ini, apakah bentuk bantuan yang telah dibawakan Anwar sebagai Perdana Menteri kepada rakyat? Ada ke, tiada. Soalan mudah tetapi tidak dapat dijawab, janji mereka minyak murah, hapus tol dan PTPTN satu tidak dilaksanakab,” katanya.

Related posts

Leave a Comment