JOHOR BAHRU 3 Sept. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan calon PN di parlimen Pulai amat penting untuk menafikan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen yang dimiliki kerajaan di Dewan Rakyat.
Katanya, kerusi Parlimen Pulai akan menentukan sama ada kerajaan sekarang mempunyai jumlah kerusi majoriti dua pertiga (148 kerusi) yang akan turut membolehkan mereka meminda perlembagaan dan sebagainya.
Justeru, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkata, PRK Parlimen Pulai khususnya penting untuk menjaga kepentingan umat Melayu Islam.
Dalam hal ini, bekas Perdana Menteri itu menarik perhatian mengenai tempoh untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen tidak lama lagi.
Beliau mendakwa jika kerajaan mahu menambah kawasan Parlimen, ia pastinya melibatkan kawasan bandar kerana mengambil kira kepadatan penduduk dan jika itu berlaku, kawasan yang ditambah adalah kawasan bukan Melayu.
“Jika itu berlaku pastinya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 atau ke-17 kerusi DAP akan bertambah,” katanya ketika berucap pada Sesi Dialog Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan di Kempas, di sini semalam.
Perhimpunan itu turut dihadiri Pengerusi Ummah Cikgu Zai Mustapa dan Presiden Perkasa Malaysia Syed Hassan Syed Ali.
Menurut Muhyiddin, masyarakat Melayu hari ini seolah-olah telah kehilangan kuasa apabila Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan.
Dakwanya, walaupun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merupakan orang Melayu, namun kehidupan masyarakat Melayu seolah-olah tidak terbela.
“Realiti sekarang seperti lagu UMNO zaman jahiliah (anak kecil main api), hari ini ada kuasa tetapi ditangan siapa, di dalam kerajaan paling banyak kerusi adalah DAP. Mereka sebenarnya adalah punca kuasa.
“Sebagai contoh, sejak bila di dalam negara tidak boleh dibincangkan isu-isu 3R, termasuk soal kalimah Allah baru-baru ini. Sebagai seorang Melayu Islam, saya perlu pertahankan perkara ini, jika tidak boleh pertahankan perkara ini adalah ini bukan negara Melayu,” katanya.
Juster, beliau berharap pengundi dapat membuat keputusan terbaik pada PRK itu nanti.
Sementara itu, Muhyiddin turut memaklumkan peratusan masyarakat berpendapatan rendah sudah bertambah dan bukan lagi B40, sebaliknya adalah B60.
“Ini bermakna daripada 100 orang, 60 daripadanya adalah dalam kalangan berpendapatan rendah, ini hakikat dan realiti sekarang. Namun apa yang telah dilakukan kerajaan Persekutuan ketika ini walaupun sudah sembilan bulan memerintah.
“Jika begini situasinya semasa pandemik Covid-19 melanda negara, mungkin kesannya lebih teruk kepada rakyat dan negara,” katanya.
