SEPANG 28 Ogos – Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman berhubung suatu laporan polis terhadap ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Johor.
Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Sulaiman berkata, pihaknya telah dihubungi Bukit Aman pagi tadi untuk memberi keterangan.
“Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada Tan Sri Tuan Guru dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman.
“Malah sebelum ini Tan Sri Tuan Guru telah pun memberikan keterangan kepada Bukit Aman, termasuklah menyerahkan peranti (telefon bimbit) milik pengendali akaun Facebook rasmi beliau (Setiausaha Akhbar) kepada pihak Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membantu siasatan.
“Dalam hal ini, Tan Sri Tuan Guru menaruh kepercayaan penuh terhadap profesionalisme pihak PDRM dan SKMM dalam menjalankan tugas dan siasatan,” katanya menerusi laman Facebook.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat kenyataan Abdul Hadi yang didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramah beliau di Markas Pas Kawasan Bakri, Muar pada 26 Ogos lalu.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Semua pihak tidak seharusnya menyentuh perkara berkaitan 3R ketika berkempen dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya ingkar,” katanya.
Abdul Hadi ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor itu mendakwa, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.
Abdul Hadi pada ceramah itu turut menjelaskan undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa,sambil menyebut kaedah sebat dalam Islam.
