Gelombang Hijau bukan punca tewas

JOHOR BAHRU 20 Ogos – Kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menawan Kedah, Terengganu dan Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu bukanlah disebabkan faktor ‘gelombang hijau’.

Sebaliknya kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, terdapat banyak faktor kegagalan itu tetapi sebab utamanya adalah isu ekonomi dan ketidakadilan kerajaan pusat ke atas negeri-negeri Melayu Islam di jajaran timur dan utara.

“Jadi jangan takut dan panik dengan fenomena gelombang hijau. Ia adalah fenomena politik, bukan momok atau hantu,” katanya dalam tulisan bertajuk ‘Jangan momok-momokkan gelombang hijau’ melalui Facebooknya semalam.

Beliau berkata, ketidakadilan kerajaan pusat ke atas negeri-negeri Melayu Islam itu sejak berdekad-dekad lamanya, bukan salah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang belum pun sampai setahun.

Katanya , sejak dulu kadar kemiskinan adalah antara tertinggi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sekali gus memberi kesan mempengaruhi sentimen pengundi.

Beliau berkata, rakyat di tiga negeri itu termasuk Perlis merasa terpinggir kerana pembangunan ekonomi, industri dan pertanian yang masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain seperti di Pantai Barat atau Selatan semenanjung.

Sentimen kebencian terhadap kerajaan Pusat itu semakin menebal apabila empat negeri yang majoritinya orang Melayu itu masih dibelenggu serta mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi.

“Satu contoh konkrit sebagai fakta, bukan tohmahan melulu adalah melalui PETRONAS, kerajaan Pusat telah mendapat hasil minyak petroleum dari perut bumi dan laut Kelantan, berbilion ringgit selama ini tetapi hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak telah dinafikan.

“Rakyat Kelantan melalui kerajaan negerinya terpaksa menuntut hak royalti minyak mereka hingga ke mahkamah. Bertahun-tahun berjuang di mahkamah tetapi sehingga kini hak rakyat Kelantan itu dinafikan.

Sentimen antikerajaan Pusat yang menzalimi Kelantan sejak berpuluh tahun ini telah menebalkan keyakinan rakyat negeri itu bahawa kerajaan Pusat tidak adil kepada rakyat Kelantan,” katanya.

Katanya, satu lagi contoh ketidakadilan kerajaan Pusat apabila tidak memberi peruntukan sama rata di semua Parlimen termasuk kawasan diwakili pembangkang, sekali gus tidak menghormati pilihan rakyat.

“Saya sendiri telah berkali-kali di Dewan Rakyat berucap meminta Kerajaan Pusat supaya memberi peruntukan yang adil dan sama banyak kepada semua ahli parlimen di seluruh negara tidak kira ahli Parlimen kerajaan ataupun pembangkang.

Dana peruntukan ahli Parlimen itu adalah untuk rakyat di kawasan masing-masing di seluruh negara. Rakyat telah memilih ahli-ahli Parlimen mereka melalui peti undi secara demokrasi di dalam pilihan raya.

Ketika mengundi rakyat tidak tahu lagi ahli Parlimen yang mereka undi itu nanti jadi ahli Parlimen kerajaan atau ahli pembangkang. Jadi rakyat tidak patut dihukum jika ahli Parlimen kawasan itu jadi ahli Parlimen pembangkang,” katanya.

Menurut Hassan, disebabkan faktor itu, UMNO kini pupus di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah manakala PKR serta Amanah dalam PH yang bersekutu dengan UMNO turut mengalami nasib yang sama di negeri yang miskin dan mundur itu.

Hassan berkata, PH-BN tidak berjaya menakluk negeri terbabit walaupun berkempen dan melakukan propaganda menggunakan media massa termasuk akhbar arus perdana dan televisyen swasta.

“Di tambah dengan taburan peruntukan wang ringgit serta projek bernilai berbilion-bilion ringgit di tengah-tengah waktu berkempen yang jelas salah dari segi etika dan moral amalan pilihan raya demokrasi, walaupun dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) dan undang-undang.

“Perlu tanya diri sendiri kenapa rakyat Melayu Islam di negeri-negeri jajaran timur dan utara itu tetap menolak PH-BN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment