KUALA LUMPUR 19 Ogos – Parti Putra menggesa Peguam Negara Idrus Harun menamatkan pelbagai spekulasi serta teka-teki dalam kalangan pelbagai pihak atau orang awam berhubung pertuduhan kes terhadap Timbalan Perdana Menteri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Biro Undang-undang dan Perlembagaan Putra, Zarina Zainal Abidin berkata, kemelut yang melanda kes ini dilihat sangat memberi impak serta meninggalkan banyak persoalan sehingga ada yang melabelkan kes ini sebagai suatu percaturan politik untuk melepaskan pihak tertentu.
“Ini jelas kerana terdapat unsur serta cubaan halus untuk menggugurkan tuduhan tersebut memandangkan pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) itu sendiri seolah-olah memberi bayangan melalui penangguhan yang mengambil masa begitu lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Dewan Tertinggi Putra itu merujuk, sebanyak 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram yang membabitkan dana Yayasan Akal Budi (YAB) yang masih belum diputuskan sejak 1 Ogos 2023 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC, Mohd Dusuki Mokhtar, hasil siasatan lanjut daripada SPRM, Pasukan Petugas Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kes tersebut masih berada dalam status ‘penantian’.
Ahmad Zahid mengemukakan representasi melebihi 200 halaman yang mengandungi isu kompleks dan dihantar kepada Idrus di mana representasi yang pertama dihantar pada Januari 2023 dan terbaru beserta beberapa fakta dan bukti terkini dihantar kira-kira lebih sebulan yang lalu.
Menurut Zarina, isu Zahid kini menjadi barah kepada prinsip ‘rule of law’ kerana pelbagai spekulasi, telahan dan berbagai-bagai reaksi komen dalam hantaran Facebook (FB) dan juga pelbagai media sosial.
“Jika ini berterusan dan kesnya digugur melalui representasi yang dikemukakan setelah selesai pembicaraan dan didapati ada prima facie,sudah tentu akan timbul kesan yang boleh menyumbang kepada kecelaruan pemikiran rakyat yang akan menghakiskan kepercayaan terhadap sistem perjalanan undang-undang negara,” katanya.
Justeru Biro Undang-undang dan Perlembagaan Putra memohon Peguam Negara mempertahankan integriti kedaulatan undang-undang, bukannya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
“Harapan rakyat untuk melihat undang-undang ditegakkan secara adil utk semua rakyat tanpa mengira kedudukan. Isu ini hendaklah di selesaikan segera demi ketenangan rakyat dan kedaulatan undang-undang negara,” katanya.
