Wakil tunggal Gerakan boleh jadi Exco

ALOR SETAR 14 Ogos – Pengerusi Perhubungan Gerakan Kedah, Wong Chia Zhen, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim akan dipertimbang untuk mengisi portfolio bersesuaian dalam barisan Exco kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Chia Zhen, boleh mewakili bukan Islam, bukan Melayu dalam kerajaan negeri.

“Saya juga tidak ada masalah untuk berkhidmat kepada bukan Melayu di Kedah, tidak ada diskriminasi,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Terdahulu Muhammad Sanusi melafaz sumpah memegang jawatan Menteri Besar di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit.

Chia Zhen satu-satunya calon bukan Melayu dari Gerakan yang menang kerusi Kulim pada PRN Sabtu lalu selepas mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Awang Teh dengan majoriti 7,742 undi.

Beliau memperoleh 23,278 undi berbanding Awang yang mendapat 15,536 dan merupakan calon tunggal yang menang berbanding keseluruhan 37 kerusi yang diwakili calon parti itu pada PRN.

Related posts

Leave a Comment