UMNO harus diberi MB Negeri Sembilan

SEREMBAN 13 Ogos – UMNO seharusnya diberikan peluang untuk jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan berikutan parti itu (Barisan Nasional) memenangi kerusi yang lebih banyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Faizal Azumu, berkata,  BN/UMNO memenangi 14 daripada keseluruhan 17 kerusi yang ditandingi parti itu di Negeri Sembilan pada PRN kali ini.

“Di Negeri Sembilan, UMNO mendapat kerusi terbanyak, seharusnya Pakatan Harapan (PH) perlu berlapang dada memberikan kerusi Menteri Besar kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri,  Jalaluddin Alias di atas kejayaan mereka.

“Itulah semangat perpaduan yang dicanangkan. UMNO kalah teruk di semua lima negeri yang lain, ahli-ahli UMNO tentu berasa kecewa dan jangan pula ahli UMNO dan penyokongnya di Negeri Sembilan dikecewakan sekali lagi,” katanya dalam catatan Facebooknya hari ini.

Pada PRN kali ini, PH menang 17 kerusi dengan parti dalam gabungan itu DAP memenangi semua 11 kerusi, manakala PKR (5) dan Amanah (1).

PN pula menawan lima kerusi DUN iaitu Serting, Paroi, Labu, Bagan Pinang dan Gemas.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PN Negeri Sembilan turut lega selepas berakhir PRN walaupun hasrat untuk membentuk kerajaan di Negeri Sembilan tidak kesampaian, tetapi pencapaian PN amat memberangsangkan.

“Pilihan raya di enam negeri berlangsung dengan baik. Alhamdulillah rakyat dapat meneruskan kehidupan dan proses demokrasi dapat dijalankan dengan baik.

“PN mendapat keputusan yang baik di semua enam negeri, terima kasih atas segala sokongan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, kenyataan Ahmad Faizal itu hanyalah provokasi terutama kepada ahli akar umbi PH.

“Pandangan itu bertujuan untuk melakukan provokasi supaya ahli PH dan BN berpecah. Pandangannya itu supaya kita berpecah-belah, tidak saling hormat dan itu kerjanya pembangkang, hanya provokasi.

“Perpaduan yang kami bina ini cuba dipermainkan, bukan saja semasa pilihan raya, tetapi selepas pilihan raya juga,” katanya.

Related posts

Leave a Comment