Reezal Merican tebus kekalahan

KEPALA BATAS 13 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Reezal Merican Naina Merican menebus kekalahan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam dengan majoriti 2,321 undi.

Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu memperoleh 10,453 undi menewaskan penyandang Khaliq Mehtab (PN) yang mendapat 8,132 undi.

Pada PRU lalu, Reezal Merican yang mewakili Parlimen Kepala Batas sejak 2013 gagal mempertahankan kerusi itu selepas tewas kepada calon PN-Pas, Siti Mastura Mohamad dengan majoriti 2,867.

Siti Mastura memperoleh 28,604 undi manakala Reezal Merican 25,737 undi dan ia buat kali pertama BN kehilangan kerusi Parlimen Kepala Batas dalam tempoh 48 tahun iaitu sejak kawasan Parlimen itu diwujudkan pada tahun 1974.

Sementara itu tindakan Reezal Merican bertanding di Bertam adalah kerana ia adalah antara DUN dalam Parlimen Kepala Batas yang membolehkan dirinya untuk kembali menabur bakti kepada masyarakat.

Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas itu turut memaklumkan ia adalah isyarat bahawa walaupun tewas beliau sentiasa ada dan tidak pernah meninggalkan rakyat bahkan kemunculan semulanya juga disifatkan kebangkitan BN di Kepala Batas.

Sementara itu, kerusi DUN Pinang Tunggal yang sebelum ini disandang bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman daripada PKR menerima ‘kejutan’ apabila calon Pakatan Harapan (PH), Zainuddin Mohamed juga daripada parti yang sama tewas dengan majoriti 6,928.

Zainuddin memperoleh 10,132 undi berbanding lawannya yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kepala Batas,  Bukhori Ghazali dengan 17,060 undi.

Satu lagi kerusi di Kepala Batas iaitu DUN Penaga pula kekal menjadi milik Pas apabila calon PN yang juga penyandang kerusi berkenaan, Mohd Yusni Mat Piah menang dengan majoriti 5,537.

Mohd Yusni memperoleh 13,223 undi manakala lawannya, Mohd Naim Salleh mendapat 7,686

Related posts

Leave a Comment