PN janji jadikan Selangor’Super Smart State’

SHAH ALAM 4=Sept. – Perikatan Nasional (PN) bertekad menjadikan Selangor sebagai ‘Super Smart State’ jika parti itu diberikan mandat oleh rakyat dan berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara inisiatif akan dilaksanakan adalah menarik pelabur asing yang berkemahiran dan berteknologi tinggi, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan berkualiti terutamanya kepada anak muda Selangor.

Katanya, kerajaan negeri hari ini gagal menarik pelabur berteknologi tinggi, malah pelaburan yang ada masih berintensifkan tenaga pekerja asing.

“Kalau ini berterusan, tidak mungkin anak-anak muda di Selangor ini dapat mencipta atau diberikan peluang untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti dan kemahiran tinggi.

Maka antara cadangan yang kita tawarkan adalah tarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi seterusnya cipta 100,000 pekerjaan yang berkualiti. Tawaran diberikan ini memang boleh dilakukan..kita ada pengalaman,” katanya ketika sesi dialog selepas Majlis Pelancaran Tawaran PN Negeri Selangor, di sini malam ini.

Beliau berkata, Selangor pernah mencatat prestasi baik tahun lalu ketika beliau masih di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Saya membawa Amazon Web Services (AWS) masuk ke Selangor walaupun Selangor bukan ditadbir PN, kita tetap membawa pelaburan bernilai RM25 bilion ke negeri ini.

“Kalau kita boleh buat ketika itu, Insya-Allah ketika rakyat memberikan mandat pada 12 Ogos ini dengan pengalaman saya dan teman-teman..saya yakin kita boleh angkat negeri Selangor ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor membabitkan nilai lebih RM2 bilion sebagai tawaran PN.

Related posts

Leave a Comment