Lebih 500 dijangka rebut 245 kerusi DUN

SEPANG 29 Julai  – Lebih 500 calon dijangka mengemukakan pencalonan di 173 pusat penamaan calon di enam negeri hari ini bagi mengisi kekosongan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pusat penamaan calon di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan dibuka mulai pukul 9 pagi bagi menyerahkan borang pencalonan masing-masing sehingga selesai proses penamaan pukul 10 pagi.

Turut diadakan hari ini penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi itu diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Berdasarkan senarai calon yang dikemukakan parti politik, lebih 500 calon akan menawarkan diri bertanding, yang mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Jumlah itu berkurangan berbanding pada PRU lalu berikutan gabungan PH-BN bergerak bersama menghadapi PN.

PH-BN dan PN masing-masing bakal mengemukakan 245 calon iaitu bagi setiap kawasan DUN dan pada masa yang sama dua parti politik lain Muda akan menurunkan 19 wakil dan PSM empat calon.

PH dianggotai PKR, DAP dan Amanah bekerjasama dengan BN yang hanya diwakili calon UMNO manakala calon-calon PN terdiri daripada Bersatu, Pas dan Gerakan.

Pada masa yang sama, jumlah calon dijangka melebihi 515 orang dengan penampilan 19 calon parti Muda, 13 Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan empat mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Putra, Berjasa dan Pejuang pula memilih untuk tidak bertanding walaupun pernah meletak calon pada PRU lalu dan PRN Melaka dan Johor sebelum ini.

Selepas selesai proses penamaan calon, kempen rasmi bermula dengan tempoh kempen yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah 14 hari iaitu sehingga 11.59 malam 11 Ogos diikuti pengundian awal pada 8 Ogos.

PRN itu merupakan kali pertama menyaksikan enam negeri berkenaan mengadakan pilihan raya bagi memilih Ahli DUN masing-masing secara berasingan daripada pilihan raya untuk kerusi Parlimen.

Enam negeri itu – tiga dikuasai PH dan tiga PN tidak membubarkan DUN masing-masing pada masa yang sama Dewan Rakyat dibubarkan 10 Oktober 2022 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November.

Hanya Perak, Pahang, Perlis yang mengadakan pilihan raya kerusi DUN masing-masing serentak dengan PRU-15 manakala Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri masing-masing lebih awal daripada PRU.

Lazimnya pilihan raya DUN negeri-negeri di Semenanjung diadakan serentak pada pilihan raya umum.

PRN diadakan selepas DUN Kelantan yang mempunyai 45 kerusi dibubarkan pada 22 Jun diikuti Selangor yang mempunyai 56 kerusi pada 23 Jun manakala Pulau Pinang (40 DUN), Kedah (36 DUN) dan Terengganu (32 DUN) dibubarkan pada 28 Jun dan Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi DUN pada 1 Julai.

Berdasarkan statistik SPR, seramai 9,773,571 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN enam negeri itu dengan Selangor seramai 3,747,057 orang, Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).

Related posts

Leave a Comment