Azmin bergantung jentera Pas

SHAH ALAM 28 Julai – Lebih separuh kekuatan jentera Mohamed Azmin Ali sudah hilang selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu meninggalkan PKR, kata Naib Presiden PKR, Amirudin Shari.

Beliau berkata, Mohamed Azmin Ali kini hanya bergantung kepada jentera Pas untuk berkempen selepas lebih 70 peratus daripada jentera yang ada dalam pasukannya sebelum ini sudah tiada.

“Selepas tewas (Parlimen Gombak), saya jangkakan dengan beberapa isu setempat beliau (Azmin) sudah hampir hilang keseluruhan jentera di bawah pimpinannya di Gombak.

“Jadi sekarang (Azmin) hanya bergantung dengan jentera Pas,” katanya pada majlis pelancaran pecah tanah Idaman Cahaya di sini, hari ini.

Azmin yang diumumkan sebagai calon mewakili PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini akan bertembung bekas ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pertembungan itu akan menjadi satu persaingan yang sihat dan sengit memandangkan kedua-duanya dibesarkan di Hulu Kelang.

“Kita yakin dengan Juwairiya, anak tempatan yang lahir, membesar dan bersekolah di Hulu Kelang, begitu juga Azmin yang turut membesar di sana walaupun tidak dilahirkan di sana,” katanya.

Related posts

Leave a Comment