Pelawak Jocelyn ‘dibuang keluarga’

SEPANG 26 Julai –  Tidak tahan dengan kontroversi yang dicetuskan anaknya, Anthony Chia Whye Liang mengumumkan dia dan isterinya, Shirley tidak mengiktiraf pelawak Jocelyn Chia sebagai anak lagi sehingga mereka meninggal dunia.

Dalam ciapan di Twitter beberapa hari lalu, bapa pelawak itu menyifatkan perbuatan Jocelyn menunjukkan beliau sebagai bapa gagal membesarkan anaknya menjadi manusia yang lebih baik untuk masyarakat.

“Masyarakat berhak dapat lebih baik daripada ini,” katanya.

Pada Ahad lalu, Jocelyn muncul dengan kontroversi terbaru berkaitan Malaysia apabila mempersendakan tindakan negara ini berhubung aksi biadab kumpulan muzik The 1975 ketika membuat persembahan di Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Dalam ciapan di Twitter, secara sinis wanita itu mengalu-alukan vokalis kumpulan itu, Matty Healy yang diletakkan sebagai individu senarai hitam kerajaan Malaysia selain turut mempersoalkan Malaysia tidak mengarahkan Polis Antarabangsa (Interpol) menahan kumpulan itu seperti dikenakan ke atasnya.

Sebelum ini, Jocelyn mencetuskan kontroversi selepas menjadikan isu kehilangan pesawat MH370 sebagai bahan jenakanya dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat, Jun lalu.

Tindakannya itu dikecam pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia dan Singapura kerana tidak sensitif dengan perasaan keluarga mangsa yang masih bersedih dengan tragedi itu.

Related posts

Leave a Comment