KUALA TERENGGANU 26 Julai – Pas akan bertanding 27 daripada 32 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan manakala lima lagi akan ditandingi rakan Perikatan Nasional (PN), Bersatu.
Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Dr Alias Dr Razak, berkata senarai calon sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan esok di Dewan Tok Guru, pekarangan Masjid Rusila.
Katanya, calon yang akan diketengahkan berkualiti dan berkarisma serta mendapat kepercayaan rakyat.
“Kita yakin calon yang diketengahkan mampu merealisasikan harapan PAS dan Perikatan Nasional (PN) untuk menawan kesemua 32 kerusi DUN,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Mengenai calon Parlimen Kuala Terengganu, Dr Alias yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, berkata Pas akan meletakkan calon daripada parti itu dan calon yang akan mempertahankan kerusi itu akan turut diumumkan esok.
Dr Alias berkata, agihan kerusi antara Pas dan Bersatu dipersetujui bersama hasil perbincangan secara harmoni dalam kalangan kedua-dua pimpinan.
Beliau mengakui ada antara calon Pas menarik diri daripada bertanding dan digantikan dengan muka baharu.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) mengumumkan akan bertanding di semua kerusi DUN yang dipertandingkan meliputi 27 calon BN, tiga PKR dan dua Amanah.
Pada PRU lalu, Pas memenangi 22 kerusi manakala BN menang 10 kerusi.
