SINGAPURA 23 Julai – Perdana Menteri Lee Hsien Loong tidak terlepas daripada menjadi mangsa pemalsuan identiti.apabila ada iklan palsu menggunakan nama dan imej mempromosikan penipuan kripto dan lain-lain penipuan dalam talian.
Berikutan itu, Hsien Loong memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terpedaya jika ada permintaan daripadanya.
“Iklan sedemikian saya lihat cenderung muncul selepas ucapan atau pengumuman besar dengan banyak liputan media.
Jika iklan itu menggunakan imej saya untuk menjual produk kepada anda atau meminta melabur dalam beberapa skim atau menggunakan suara saya untuk meminta wang, itu bukan saya,” katanya melalui Facebooknya
Beliau berkata, beberapa iklan palsu dilihat ketika melayari internet dan turut dimaklumkan oleh warga Singapura yang menulis kepadanya.
Justeru beliau menggesa orang ramai supaya tidak bertindak balas terhadap penipuan, berita palsu atau iklan yang serupa dengan tangkapan skrin yang dikongsi dan melaporkannya melalui Bot ScamShield rasmi di WhatsApp.
“Mereka yang telah ditipu boleh membuat laporan polis dalam talian,” katanya yang turut berkongsi tangkapan layar laporan CNA palsu bertajuk “SPECIAL REPORT: Lee Hsien Loong’s latest investment has the Government and big banks terrified”.
Menurut laporan The Straits Times, ia bukan kali pertama penipu menggunakan identiti Perdana Menteri dalam skim mereka di mana pada Oktober 2022, penipu menghantar e-mel palsu atas namanya untuk menyasarkan personaliti seperti pemimpin kerajaan dalam pelbagai penipuan.
Dalam satu kes, penipu mencipta e-mel seolah-olah dari Pejabat Perdana Menteri dengan kandungan berterima kasih kepada penerima atas sumbangan mereka kepada Singapura.
Pada Jun 2022, polis memberi amaran kepada orang ramai terhadap artikel dalam talian palsu yang kononnya menunjukkan Perdana Menteri menyokong program perdagangan automatik mata wang kripto.
