Vaksin lengkap tidak perlu ‘mask’

WASHINGTON: Rakyat Amerika Syarikat yang telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka di kawasan terbuka, demikian menurut garis panduan baharu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Menurut CDC Amerika Syarikat, kumpulan itu turut dibenarkan  untuk tidak memakai pelitup muka di kebanyakan kawasan tertutup yang tidak sesak.

Presiden AS, Joe Biden ketika mengulas keputusan itu di White House berkata, dengan keputusan itu rakyat mempunyai dua pilihan dalam mendepani Covid-19 iaitu mendapatkan subtikan vaksin yang lengkap atau terus memakai pelitup muka.

Bagaimanapun pelitup muka masih menjadi keperluan ketika berada dalam situasi tertentu iaitu di kawasan tertutup yang sesak seperti di dalam bas, pesawat, hospital, penjara dan rumah perlindungan golongan gelandangan.

Garis panduan baharu dikeluarkan itu adalah sebagai usaha untuk kembali menuju ke kehidupan yang lebih normal pra-pandemik.

Ini juga akan membantu mengurangkan sekatan untuk membuka semula tempat kerja dan sekolah.

Pengarah CDC, Dr. Rochelle Walensky berkata, beberapa perkara telah berlaku dalam dua minggu terakhir yang membolehkan garis panduan baharu itu dibenarkan.

Walensky menyatakan sebagai permulaan, kes Covid-19 di AS menurun satu pertiga dalam dua minggu terakhir.

“Beberapa perkara telah berlaku dalam dua minggu terakhir ini terutamanya kes jangkitan di dalam negara telah menurun satu pertiga.

“Dalam dua minggu terakhir ini, bekalan vaksin telah ditingkatkan dan kini lebih ramai layak menerima suntikan termasuk golongan berusia 12 hingga 15 tahun.

“Selain itu kita memperolehi data tentang keberkesanan vaksin ini dalam kalangan orang ramai serta varian baharu dan kemampuan menyekat penularan virus berkenaan,” katanya.

Negara itu juga menurunkan had umur vaksin kepada 12 tahun.

Related posts

Leave a Comment