Pejuang tidak bertanding PRN

KUALA LUMPUR 22 Julai –  Selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil pendirian tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri pada 12 Ogos ini.

Presiden Pejuang,  Mukhriz Mahathir, mengakui kekalahan kali ketiga Pejuang selepas PRN Johor, Melaka seterusnya PRU15 menyebabkan parti itu sukar untuk ‘bangkit’.

Justeru adalah lebih baik bagi Pejuang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan kedudukan bagi menyertai PRU16 akan datang.

Ditanya sama ada jika diberi peluang bertanding dalam PRN oleh Perikatan Nasional (PN), Mukhriz berkata, untuk tempoh tiga minggu akhir sudah agak terlewat untuk pihaknya mempertimbangkan sebarang tawaran sedemikian.

Mengakui ada usaha bapanya, Dr Mahathir Mohamad, untuk Pejuang bertanding, pihaknya masih belum menerima maklum balas rasmi dari PN mengenai perkara itu.

“Lebih baik kami (Pejuang) tumpu kepada memperkukuhkan parti dan kekal berprinsip terhadap perjuangan,” katanya dalam satu sidang media selepas Program Amanat Presiden bersama pimpinan negeri dan sayap parti.

Mukhriz berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Dr Mahathir berhubung Pejuang untuk tidak bertanding dalam PRN akan datang.

“Berundur setapak bukan bererti berundur selamanya, kita akan terus menegakkan prinsip perjuangan parti. Kami (Pejuang) bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa undi Melayu tidak seharusnya dipecahkan,’ katanya.

Katanya, jika ada tawaran saat akhir untuk bertanding dalam PRN, pihaknya dengan rendah diri terpaksa menolaknya.

Mukhriz berkata, keputusan untuk tidak bertanding itu diputuskan di mesyuarat exco Pejuang minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak menghalang jentera parti itu turun padang dan membantu calon parti lain.

“Kami tidak halang, tetapi jangan guna nama Pejuang secara rasmi. Itu hak mereka secara individu, namun tidaklah sehingga mereka naik ke pentas dan berceramah untuk parti lain,” katanya.

Beliau juga menegaskan, mana-mana anggota parti tidak boleh menawarkan diri untuk menjadi calon parti itu seterusnya menggunakan lambang Pejuang.

Related posts

Leave a Comment