SHAH ALAM 22 Julai – Bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim mengumumkan demikian pada Majlis Pengumuman Calon PKR, di sini malam ini.
Pengumuman itu sekaligus memberi bayangan saingan PRK di kerusi berkenaan akan menyaksikan pertaruhan calon Kerajaan Perpaduan dari PH, bukan Barisan Nasional (BN) seperti dijangkakan sebelum ini.
Azan adalah Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu dan pernah menerajui kepemimpinan PKR Terengganu sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) (2018 hingga 2021).
PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan calon Pas, Ahmad Amzad Hashim dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya atas dakwaan wujudnya unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November lalu.
Pada PRU-15 lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahan kerusi Parlimen Terengganu yang dimenangi pada PRU-14 dengan majoriti 40,907 undi.
Sebelum ini bekas calon BN kawasan itu Mohd Zuber Embong menyatakan kesediaannya bertanding semula pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu, 12 Ogos depan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan itu diserahkan kepada Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Jika diputuskan bertanding, kita akan bertanding, jika keputusan sebaliknya, kita akan turun padang membantu calon yang dipilih bagi memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu” katanya seperti dilaporkan media.
Sebelum ini, pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi UMNO Terengganu, Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan Pas menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lalu, iaitu beberapa hari sebelum pengundian PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
