SIK 21 Julai – Saifuddin Nasution Ismail didakwa pernah merayu supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 selepas beliau tewas kepada Rafizi Ramli.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin mendakwa Saifuddin ada berjumpa dengannya selepas seminggu kalah dalam saingan merebut jawatan nombor dua parti ketika pemilihan itu.
Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu mendedahkan, Saifuddin menghantar surat untuk memohon supaya keputusan pemilihan PKR dibatalkan.
“Saifuddin Nasution jangan lupa, selepas seminggu kamu kalah, kamu jumpa saya hantar surat tolong batalkan pemilihan PKR. Surat ada pada saya,” katanya sambil menunjukkan surat berkenaan pada Taujihat Pimpinan sempena Munajat Perdana Mohon Keamanan & Menentang Kezaliman di sini, malam tadi.
Dalam saingan pemilihan PKR pada 2022, Saifuddin gagal mempertahankan kedudukan sebagai Timbalan Presiden selepas tewas kepada Rafizi.
Sementara itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menyifatkan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor pada pukul 3 pagi seperti tidak bertamadun, sekali gus bertentangan konsep Malaysia Madani.
“Tamadun apa pi tangkap 3 pagi, sepatutnya habaq (beritahu), Datuk Seri (Muhammad Sanusi) kami nak jumpa sat saja, saya dulu bekas Menteri Dalam Negeri, saya baik..
“Jangan dok main, la ni saya nak kata kerana adik saya (Muhammad Sanusi) ditangkap 3 pagi, lawan tetap lawan, itulah perjuangan kita yang sama yang adil,” katanya.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, dasar Perikatan Nasional (PN) akan terus memelihara dan mempertahankan institusi diraja.
“Muhammad Sanusi tidak kacau institusi diraja, yang dia kacau cuma Saifuddin, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli,” katanya.
