DAP tanding 11 kerusi di Negeri Sembilan

SEREMBAN 12 Julai – Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi DAP di Negeri Sembilan kekal 11 seperti mana ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusi DAP negeri, P Gunasekaran, berkata kerusi berkenaan ialah Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut dan Repah.

“Kami (DAP) akan mempertahankan kesemua 11 kerusi ini pada PRN akan datang. Kami yakin akan dapat memenangi kesemua kerusi berkenaan tanpa masalah besar.

“Ini berdasarkan keputusan pada PRU15 lalu, menunjukkan sokongan pengundi kepada DAP masih kekal konsisten.

“Malah, jentera pilihan raya kami berterusan bergerak tanpa henti bagi mendekati pengundi sekali gus menambah keyakinan kami untuk mempertahankan setiap kerusi berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, Gary Lee Ban Fatt, berkata parti itu akan mempertaruhkan enam kerusi bagi membantu Perikatan Nasional (PN) memenanginya sekali gus membentuk kerajaan negeri pada PRN kali ini.

Beliau berkata, enam kerusi berkenaan ialah Temiang, Lobak, Rahang, Seremban Jaya, Chuah dan Repah.

Katanya, persefahaman telah dicapai di peringkat pucuk pimpinan PN untuk Gerakan bertanding di enam kerusi di Negeri Sembilan pada PRN kali ini dan semua kerusi ini mempunyai peluang cerah untuk Gerakan memenanginya.

DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) menguasai sebanyak 20 kerusi manakala Barisan Nasional (BN), 16 kerusi.

Related posts

Leave a Comment