TANJONG 8 Julai – Selama sebulan, mulai 7 Ogos, orang ramai termasuk pelancong boleh menikmati perkhidmatan feri ulang-alik secara percuma dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia susulan ketibaan empat feri baharu di Pulau Pinang dan pihak Penang Port Sdn Bhd akan mengambil masa empat minggu sebagai tempoh percubaan untuk menjalankan pelbagai latihan.
Latihan itu turut membabitkan pengemudi feri dan pada masa sama, Jabatan Laut akan melakukan pentauliahan terhadap keempat-empat feri.
“Perkhidmatan feri baharu ini akan mula beroperasi pada 7 Ogos dari jam 6 pagi hingga 8.30 malam, manakala kekerapannya pada waktu kemuncak ialah setiap 30 minit dan masa yang diambil untuk perjalanan sehala ialah 10 minit.
“Apabila ia mula beroperasi pada 7 Ogos nanti, semua penumpang termasuk bukan warga negara boleh menikmati perkhidmatan feri ini secara percuma selama sebulan,” katanya ketika meninjau feri terbabit di sini hari ini.
Feri itu mampu memuatkan 150 penumpang pejalan kaki serta 50 penumpang bermotosikal dan berbasikal pada satu-satu masa.
Beliau berkata, tiga feri akan beroperasi setiap hari, manakala sebuah lagi diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.
Katanya, feri itu dibangunkan dengan konsep baharu serta dilengkapi ciri keselamatan seperti kamera litar tertutup.
Mengenai kadar tambang, Loke memberi jaminan kadar yang berpatutan dan ia akan diumumkan kemudian selepas mengadakan perbincangan serta mencapai kata sepakat dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
