OIC bincang isu bakar al-Quran

JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar minggu depan bagi membincangkan isu membakar kitab suci al-Quran di Stockholm Rabu lalu semasa umat Islam membuat persiapan meraikan Aidiladha.

Menurut kenyataan yang diterbitkan melalui twitter rasminya semalam, mesyuarat itu akan diadakan di Jeddah di bawah undangan kerajaan Arab Saudi selaku pengerusi OIC.

“Mesyuarat ini akan mengetengahkan tindakan-tindakan yang akan diambil terhadap perlakuan membakar kitab suci al-Quran dan bagi menyatakan pendirian menolak perbuatan keji itu,” kata kenyataan itu.

Pertubuhan itu turut mengecam sekeras-kerasnya perbuatan cela yang dilakukan oleh beberapa pelampau, dengan niat menimbulkan kebencian, perselisihan dan perkauman.

Kelakuan ini akan menjejaskan rasa hormat dan keharmonian antara kaum dan ia amat bercanggah dengan usaha antarabangsa untuk menyebarkan nilai tolak ansur, kesederhanaan dan menolak amalan pelampau.

“Kami berasa kesal atas semua percubaan untuk mencemarkan al-Quran dan nilai-nilai Islam serta mengesahkan komitmen yang diambil semua negara di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kita harus menggalak, mendorong, menghormati dan mematuhi hak asasi manusia dan kebebasan asas setiap individu di seluruh dunia tanpa sebarang perbezaan dari segi kaum, warna kulit, jantina, bahasa, agama, politik atau pandangan, asal negara atau sosial, harta, kelahiran atau status lain,” katanya.

Sementara itu, Liga Dunia Islam (MWL) dan Pengurusan Tertinggi Dua Kota Suci umat Islam turut mengecam hebat jenayah perbuatan membakar al Quran di Stockholm, Sweden.

Related posts

Leave a Comment