SEREMBAN 1 Julai – DAP mempertimbang calon muka baharu untuk mengisi kuota kerusi ditetapkan untuk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, kata Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke.
Beliau berkata pertimbangan itu mengambil kira status sebahagian penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sudah berkhidmat lebih dua penggal.
“Saya sudah jelaskan bahawa dalam mana-mana pilihan raya perlu ada proses perubahan supaya ada muka-muka baharu dan ini perkara biasa dalam setiap pilihan raya.
“Begitu juga untuk pilihan raya akan datang ini akan ada muka baharu, jadi bukan semua penyandang yang akan dicalonkan semula. Tetapi ia tidak bermaksud penyandang itu tidak baik.
Semua penyandang baik dan setia, tapi ada faktor-faktor lain perlu kita ambil kira, perlu ada muka baharu dan perlu ada penyandang yang diberi laluan untuk bersara supaya dapat bagi laluan kepada wajah-wajah baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat DAP Negeri Sembilan di Pejabat DAP negeri, di sini, hari ini.
Ketika ini, DAP menguasai 11 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan, manakala enam milik PKR, tiga melalui Parti Amanah Negara (Amanah) dan baki 16 lagi dikuasai Barisan Nasional (BN).
Loke yang juga Menteri Pengangkutan dan Setiausaha Agong DAP berkata, setakat ini pihaknya belum memutuskan senarai calon termasuk jumlah muka baharu yang akan ditampilkan parti berkenaan pada PRN kali ini.
Katanya, ada proses dalam menentukan kedudukan kerusi dan calon dan masih ada beberapa minggu lagi untuk membuat keputusan membabitkan kedudukan kerusi dan selepas itu berkaitan calon.
“Saya pun tidak pasti siapa yang akan kena bagi laluan dan adakah mungkin saya sendiri kena bagi laluan, itu belum dimuktamadkan,” katanya.
Loke juga berkata, jentera pilihan raya DAP akan saling membantu calon Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Beliau yakin rakyat Negeri Sembilan akan memberikan mandat kepada gabungan Pakatan harapan (PH) dan BN untuk mentadbir negeri itu berdasarkan prestasi diterjemahkan dalam pentadbiran terdahulu.
