KWSP lulus RM835 juta FSA2

KUALA LUMPUR 15 Jun – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meluluskan RM835.4 juta bagi bayaran Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) membabitkan 40,196 permohonan setakat 26 Mei lalu.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF) daripada jumlah yang diluluskan sejak permohonan dibuka pada 7 April lalu, sebanyak RM790.8 juta disalurkan melalui MBSB Bank Bhd manakala RM44.6 juta menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN).

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis), MoF menjelaskan, bagi permohonan tidak layak pula, kebanyakannya adalah disebabkan pemohon tidak mencapai syarat kelayakan seperti permohonan tidak lengkap, di luar umur kelayakan dan baki simpanan Akaun 2 tidak mencukupi.

MoF menjelaskan FSA2 bertujuan membantu ahli KWSP yang memerlukan bantuan kewangan mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Ia juga bagi mengimbangi kepentingan pendapatan persaraan di masa hadapan dengan impak yang minimum ke atas simpanan persaraan ahli yang telah banyak terjejas, khususnya impak daripada pengeluaran yang dibenarkan ketika pandemik Covid-19.

Melalui FSA2, ahli yang layak boleh memohon dan memperoleh pembiayaan sehingga maksimum RM50,000 bagi membantu memenuhi keperluan kewangan yang bersesuaian dengan kemampuan kredit dan aliran tunai mereka berdasarkan penilaian kredit dibuat pihak bank ke atas pemohon.

“Penilaian kredit ini adalah mengikut amalan terbaik dan pengurusan risiko yang sentiasa diamalkan oleh institusi perbankan dan dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment