DUN Kelantan bubar 22 Jun

KOTA BHARU 14 Jun – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V memperkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dibubarkan pada 22 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 akan datang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan perkara tersebut selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan.

“Hari ini saya membuat pengisytiharan pembubaran DUN Kelantan bagi penggal ke-14 selepas saya menghadap Sultan Kelantan bagi memohon perkenan pembubaran DUN mengikut Fasal 2 Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan bahawa Sultan boleh membubarkan DUN.

“Justeru, Sultan Kelantan perkenan untuk membubarkan DUN pada 22 Jun ini,” katanya pihaknya akan menghantar notis pembubaran itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

Kelantan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.

Kelantan mempunyai 45 kawasan DUN yang menyaksikan perebutan antara Pas dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lalu, Pas menang 37 kerusi dan mengekalkan tampuk pentadbiran negeri sejak tahun 1990 sementara BN memperoleh lapan kerusi tetapi satu kerusi jatuh ke tangan Bersatu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada UMNO.

Related posts

Leave a Comment