KUALA LUMPUR 10 Jun – Anwar Ibrahim mengajak pengamal media untuk bertindak sebagai pendidik kepada masyarakat dengan menanam minat serta mengajak rakyat agar lebih berminat membaca serta menimba ilmu.
Perdana Menteri berkata, media dan wartawan perlu memainkan peranan untuk memastikan sikap membaca menjadi budaya dalam masyarakat dan generasi baharu tidak berada dalam kekangan ‘katak bawah tempurung’.
Beliau berkata, kemudahan media yang ada sama ada cetak atau digital,
perlu dijadikan platform untuk mendidik anak bangsa dengan memupuk semangat membaca.
Katanya, untuk tujuan itu, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk masyarakat memilih media cetak atau digital, asalkan pemberitaan itu dilaksanakan untuk mencari kebenaran.
“Saya tidak ada masalah untuk mereka memilih jalur apa pun tetapi jangan mencari jalan singkat untuk mencari kebenaran. Jika ini berterusan, maka satu generasi akan kekal ibarat katak bawah tempurung. Kita harus berada di luar,” katanya.
Dalam hubungan ini Institut Akhbar Malaysia (MPI), yang mempunyai pengalaman dan kemahiran juga boleh memainkan peranan meningkatkan tahap pembacaan masyarakat.
“Pengamal media kanan juga perlu membantu untuk memberi penekanan atau tambahan supaya Malaysia bukan shaaja dikenali sebagai negara yang bercambahnya institusi pendidikan tetapi mengangkat kefahaman rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2023 sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022 di sini, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta timbalannya Teo Nie Ching; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Dr Chamil Wariya dan Naib Presiden Eksekutif Petronas Liza Mustapha.
Anwar juga mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa wartawan dan keluarga media bukan sahaja berfungsi melaporkan berita sahih, malah turut menjadi pencetus idea dalam membina negara.
Wartawan dan media juga harus bebas memberi pandangan dan kritikan membina kepada kepemimpinan negara dalam menjadikan tatakelola pentabiran lebih baik.
“Kita angkat semula keupayaan kita dalam memaknai perpaduan rakyat, bukan hanya golongan sarjana tetapi wartawan harus bebas tegur, kritik dan beza pandangan dengan jalur tetap kepemimpinan negara.
Sebab itu saya masih tuntas dengan pandangan tugas wartawan bukan sekadar melaporkan tetapi membimbing idea kepada negara,” katanya.
Sementara itu, Chamil dalam ucapannya berkata bagi edisi 2022, anugerah MPI menerima sebanyak 368 penyertaan pelbagai karya kewartawanan untuk dihakimi berbanding 350 pada 2021.
Beliau berkata selain itu, Petronas bersetuju menaja HKM untuk tempoh tiga tahun lagi mulai 2024 dengan penambahan kategori bagi penyertaan radio dan televisyen.
HKM MPI-Petronas ialah acara tahunan bagi mengiktiraf karya kewartawanan sepanjang tahun dengan Hadiah Kajai sebagai pengiktirafan tertinggi kepada wartawan yang melaksanakan tugas dengan cemerlang.
Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan buku The MPI Journey 56 Years and Counting dan Media Business and Entrepreneurship in Malaysia : A Snapshot.
SENARAI PEMENANG EMAS, ANUGERAH
1. Esei Foto Cemerlang – Mohd Azlan Mat Sidek (Malaysia Gazette)
2. Foto Cemerlang – Mohamed Sairien Mohamed Nafis (The Vibes)
3.Infografik Terbaik – Mohamad Sany Misnan (Utusan Malaysia)
4. Laporan Berita Cemerlang – Farrah Naz Abd Karim (New Straits Times)
5. Penyiasatan Cemerlang -Aliza Shah Muhamad Shah (The Star)
6.Rencana Cemerlang – Nurul Isnaini Mohd Muslim (Bernama)
7.Desain Halaman Pertama Terbaik – Tung Eng Hwa (Majoriti7)
8. Kolumnis/Kritikan/Komentar Cemerlang – Martin Prasad Vengadesan
9. Alam Sekitar Cemerlang Petronas – Wong Siew Lyn, Law Yao Hua, Masjalizah Hamzah, Lee Kwai Han, Yeong Hui Jin dan Ushar Prakash Kaur Daniele (Macaranga)
10. Berita Video Cemerlang – Juliana Shahrin dan Mohd Jufri Mohd Judin (TV3)
11. Dokumentari Video Cemerlang – Chritine Lee Mei Chin dan Mohd Zahril Abdullah (TV3)
12 Laporan Radio Terbaik – Rosdi Omang (NASIONALfm)
13.Multimedia Terbaik – Lee Long Hui, Ooi Choon Nam, Yan Jing Tian, Syariman Badrulzaman, Andrew Ong Kok Heng dan Raveena Preet Kaur Nagotra (MalaysiaKini)
14.Wartawan Muda A.Samad Ismail (media cetak) – Sandhya Menon (The Star)
15.Wartawan Muda A.Samad Ismail (TV) – Andy Reza Rohadian Khairul Anwar (RTM)
16.Anugerah Khas Juri – James Alexander Ritchie (New Sarawak Tribune)
17.Hadiah Kajai – Yusmizal Dolah Aling (Harian Metro)
18.Tokoh Media – Datuk Henry Lau Lee Kong (Borneo Post)
