Annuar Musa sah anggotai Pas

SEREMBAN 10 Jun –  Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa sah menjadi ahli Pas, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Presiden pertubuhan bukan kerajaan Muafakat Nasional (MN) itu diterima sebagai ahli Pas bersama 3,000 ahli baharu yang lain hari ini.

“Saya ingin memaklumkan Tan Sri Annuar Musa diterima menjadi ahli Pas…dengan 3,000 keahlian baharu hari ini.

Ramai memohon masuk dalam Pas, Bersatu…(selepas ini), tokoh masyarakat lain yang diterima masuk ke parti ini akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi turut menyerahkan sijil keahlian kepada Annuar.

Sementara itu, Annuar bersyukur dan berterima kasih kepada kepemimpinan tinggi parti Pas dan PN yang menerima keahliannya itu

“Saya bersyukur pada malam ini saya dapat bersama dengan semua (penyokong PN) pada hari bersejarah bagi diri saya, (keputusan ini) tidak dipengaruhi oleh sesiapa,” katanya.

Sementara itu, Annuar mengucapkan: “Good Luck, suatu kenyataan yang baik,” sebagai mengulas tekad Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempertahankan penguasaan di tiga negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), akan datang.

Katanya , tidak salah bagi seorang Presiden parti menyatakan tekad hendak mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), akan datang.

Bagaimanapun , beliau mendakwa, rakyat di tiga-tiga negeri itu juga sudah membuat tekad siapa yang akan mereka pilih pada PRN nanti.

“Tidak salah, beliau membuat kenyataan itu. Di Kelantan pun, (UMNO) berikrar merampas Kelantan selama 30 tahun, tapi tiap kali pilihan raya, kalah juga.

Jadi, yang ini pun (PRN), insya-Allah akan kalah juga. Namun, pada saya, itu tugas dia (Ahmad Zahid Hamidi) dalam ucapan, kerana itu tempat orang menyedapkan hati masing-masing.

“Saya hormati kerana itu hak dia untuk memberikan keyakinan kepada ahli dia,” katanya selepas Majlis Town Hall MN Peringkat Negeri Sembilan, di sini, lewat petang tadi.

Annuar menegaskan, MN akan kekal sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan parti politik.

Justeru, Ahli Parlimen Ketereh, yang dipecat daripada UMNO itu berkata, MN tidak akan menyertai pilihan raya.

Related posts

Leave a Comment