Polis siasat isu Pulau Pinang milik Kedah

KUALA LUMPUR 6 Jun – Polis telah melakukan siasatan untuk mengambil tindakan berhubung kenyataan tidak bertanggungjawab Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Anwar Ibrahim berkata, siasatan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi menghindari kenyataan berterusan yang melanggar prinsip Perlembagaan dan undang-undang, termasuk di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

Perdana Menteri memberitahu Dewan Rakyat, sebahagian laporan telah dikemukakan kepada Peguam Negara dan menunggu tindakan seterusnya.

Menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Anwar membidas Sanusi kerana mengeluarkan kenyataan itu dan mempersoalkan sama ada kenyataan itu dibuat kerana mahu mengekalkan ‘kuasa’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Apakah kerana nak gelojoh kuasa (untuk memenangi) PRN, kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan huru-hara? Ini silapnya. Dan ini menyebabkan timbul permasalahan ini.

“Kita sudah merdeka lebih enam dekad, parti-parti memerintah sama ada UMNO-Barisan Nasional (BN), Pas dan Pakatan Harapan (PH), serta Pas dan Perikatan Nasional (PN), tidak pernah dibangkitkan, melainkan seorang ketua (Muhammad Sanusi) yang tidak bertanggungjawab yang sanggup melanggar prinsip undang-undang,” katanya.

Guan Eng bertanya mengenai tindakan ke atas Muhammad Sanusi susulan gesaannya supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memadamkan Pulau Pinang agar boleh dikembalikan kepada Kedah.

Dakwa Lim, kenyataan itu memecah-belahkan perpaduan rakyat, khususnya menimbulkan keresahan, dalam kalangan penduduk Pulau Pinang, serta mengancam keharmonian dan keselamatan dalam negara.

Perdana Menteri berkata, kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Negeri-Negeri Persekutuan adalah Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu serta Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Katanya, Fasal (3) Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan Perlembagaan Negeri termasuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Anwar berkata, beliau telah menerima beberapa dokuman seperti laporan polis yang mengesahkan bahawa Muhammad Sanusi secara tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan termasuk menuntut supaya Perlembagaan dipinda bagi mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah.

Related posts

Leave a Comment