Peja tidak bertanding PRN

SEREMBAN 4 Jun –  Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak akan bertanding mana-mana kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang baharu mengambil alih sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) dan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, berkata, pelantikannya sekadar untuk persiapan dan membantu jentera parti menghadapi PRN.

“Saya tidak akan bertanding di mana-mana kerusi di enam negeri pada pilihan raya negeri termasuk di Negeri Sembilan.

Saya berasal dari Perak tapi sebagai anggota parti, saya perlu akur arahan kepemimpinan tertinggi, jadi tugas saya hanyalah untuk memperhambakan diri dan menguatkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau ditemu pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Bersatu Negeri Sembilan, Dr Rais Yatim dan Ketua Bersatu Bahagian Kuala Pilah yang juga bekas BPN PN negeri, Eddin Syazlee Sith.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi BPN PN Perak, menegaskan bahawa PN dan Bersatu Negeri Sembilan tidak menghadapi sebarang masalah dari segi kepemimpinan sebelum ini susulan pelantikan berkenaan.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi dan calon PRN, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembahagian Kerusi Bersatu Pusat, berkata perkara berkenaan berjalan lancar dan kini sedang di peringkat saringan membabitkan calon-calon yang akan mewakili parti.

Related posts

Leave a Comment