Haji: Jangan sebar maklumat tidak sahih

KUALA LUMPUR 3 Jun –  Umat Islam di negara ini diajak bertimbang rasa dalam menghasilkan kandungan media sosial dengan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkenaan jemaah haji yang kini berada di Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Mohd Nai’m Mokhtar, berkata penyebaran maklumat tidak sahih boleh menimbulkan panik dalam kalangan orang ramai.

Beliau sedar dengan kewujudan beberapa akaun media sosial yang menyebarkan maklumat kurang tepat mengenai keadaan jemaah haji Malaysia yang dikini berada di Madinah.

“Saya baru berhubung dengan Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji yang mengesahkan hanya 0.02 peratus jemaah Malaysia yang kini dirawat di hospital di Madinah,” katanya.

Beliau menggesa supaya pemilik akaun media sosial menggunakan platform itu dengan lebih tanggungjawab dan menyebarkan maklumat yang memanfaatkan orang ramai dan bukannya mencetuskan kebimbangan.

Mohd Naim ditemui selepas merasmikan di Majlis Pelancaran Buku dan Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Kanak-Kanak terbitan Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas hantaran media sosial berkaitan jemaah haji yang dipersoalkan kesahihannya mengenai kesihatan jemaah di Tanah Suci termasuk berkaitan batuk kokol.

Yadim melancarkan empat buku berjudul Kasih Kami, Jangan Buli Saya!, 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah SAW dan komik sahabat misi 3Q (melangkah bersama).

Yadim turut menyampaikan Hadiah Sayembara Cerpen Kanak-kanak anjurannya bagi tahun ini.

Semalam laporan dari MAKKAH menyebut hanya 29 orang atau 0.2 peratus daripada kira-kira 13,000 jemaah haji Malaysia yang sudah tiba di Tanah Suci, setakat ini, berada di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan membabitkan penggunaan 11 peratus katil dalam wad dan keadaan mereka stabil.

Daripada jumlah keseluruhan iaitu 26 jemaah yang ditempatkan di Pusat Rawatan TH di Makkah dan tiga di Madinah itu, seramai 11 pesakit mengalami radang paru-paru, iaitu tujuh orang di Makkah dan empat lagi di Madinah dengan hanya membabitkan penggunaan empat peratus katil dalam wad.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata baki pesakit di Pusat Rawatan TH di Tanah Suci meliputi jemaah yang mengalami sakit jantung, selain terjatuh di Masjidilharam dan bangunan penginapan tetapi sekadar bengkak tanpa kecederaan serius

Tiga lagi jemaah haji Malaysia dirawat di hospital Arab Saudi membabitkan dua di Madinah dan seorang di Makkah berikutan sakit jantung, jangkitan paru-paru dan jangkitan kulit, dengan kesemua pesakit berkenaan kini berada dalam keadaan stabil.

“Semua jemaah haji yang mengalami radang paru-paru juga berada dalam keadaan stabil dan memadai dengan rawatan antibiotik.

Justeru, ini bukan satu perkara yang kita perlu gusar kerana ia sudahpun dikawal dengan baik oleh pihak perubatan Malaysia di Tanah Suci, malah pesakit juga berada dalam keadaan baik dan tidak memerlukan rawatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular isu mendakwa ramai jemaah haji ‘memenuhi’ Pusat Rawatan TH di Madinah akibat radang paru-paru, dengan hampir kesemuanya tidak mengambil vaksin ‘Pneumococcal’ serta ‘Influenza’.

Syed Saleh menjelaskan, jemaah haji mengalami radang paru-paru itu membabitkan kedua-dua golongan yang sudah menerima suntikan vaksin tambahan ‘Pneumococcal’ serta ‘Influenza’ dan juga p yang tidak mengambilnya, berdasarkan semakan rambang terhadap buku rekod kesihatan mereka.

Ketika ini, beliau berkata, semua jemaah haji Malaysia hanya diwajibkan menerima suntikan vaksin ‘Meningococcal’ sebelum berlepas ke Tanah Suci, selain amat digalakkan untuk mengambil suntikan dua vaksin tambahan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment