SHAH ALAM 3 Jun – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini selepas tempoh penggal berakhir, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.
Katanya, sekiranya tiada pengumuman pembubaran dibuat dalam tempoh itu, DUN akan terbubar dengan sendirinya pada 25 Jun ini.
“Ini bermakna, kita hanya boleh tangguh selama 23 hari dari sekarang. Selepas tarikh tersebut, pasti akan terbubar,” katanya ditemui pada Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 (PSKNS) di Pusat Konvensyen MBSA, di sini.
Amirudin bagaimanapun berkata, tarikh sebenar pembubaran itu perlu mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris.
“Saya kini sedang menunggu perkenan Tuanku untuk sesi menghadap (menentukan tarikh bubar). Minggu lepas saya telah menghadap dan Tuanku juga sedang berkira-kira tarikh pembubaran berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tindakan beberapa Exco Kerajaan Negeri yang berkongsi status mengosongkan pejabat adalah perkara biasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, langkah tersebut bagi membolehkan penumpuan terhadap PRN selepas pembubaran DUN yang akan dibuat pada bila-bila masa dari sekarang.
“Itu perkara biasa apabila nak habis penggal. Selepas ini, tugas mereka pun adalah untuk menjalankan perkara yang telah dirancang dan tidak ada polisi baharu (akan dibuat).
“Saya penggal lepas pun seperti itu. Apabila tahu DUN akan bubar, kita siap sedia kemas. Jika dilantik jadi Exco semula belum tentu memegang portfolio yang sama.
“Jadi banyak perkara perlu dibuat dan dikemas selain mengumpul laporan-laporan yang telah dibuat. Ini adalah perkara lazim,” katanya mengulas tindakan beberapa Exco yang dilihat telah mula mengemas pejabat untuk dikosongkan.
Mengenai korban, itu pada tahun ini kerajaan negeri menyerahkan 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing kepada masjid, surau, agensi dan institusi yang akan melaksanakan ibadah korban.
Menurut Amirudin, pemilihan masjid dan surau berdasarkan lokaliti yang mempunyai ramai asnaf dan golongan berpendapatan rendah (B40).
Katanya bagi tujuan itu kerajaan negeri membelanjakan RM6 juta, tambahan peruntukan RM 1 juta dari jumlah perbelanjaan tahun lalu.
