Perlis tanam 150,000 pokok dalam satu jam

KANGAR 3 Jun – Kejayaan menanam 150,000 pokok secara serentak yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini menjadi hadiah istimewa rakyat sempena ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-80.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah kejayaan menanam pokok dalam masa satu jam bermula pukul 9 itu, juga telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

“Ini hadiah istimewa daripada rakyat kepada Tuanku Raja Perlis sempena ulang tahun baginda ke-80 kerana ia simbolik pemeliharaan dan pengekalan khazanah negeri Perlis untuk generasi masa hadapan,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Perlis Green Hour Sempena Ulang Tahun Ke-80 Raja Perlis di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat di sini, hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Teknikal) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mohd Rahim Rani; Pengarah Perhutanan Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadi dan Exco kerajaan negeri.

Program “Perlis Green Hour” merupakan aktiviti penanaman pokok secara serentak melibatkan rakyat di negeri Perlis untuk menjayakan Program Kehijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 juta pokok di Negeri Perlis sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-80 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis

Perlis Green Hour mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai ‘Penanaman Pokok Serentak Terbesar’ selepas 150,000 pokok berjaya ditanam dalam masa satu jam.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah acara itu dapat menggalakkan penyertaan berterusan semua pihak termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta dan korporat, selain badan bukan kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan orang awam dalam usaha menambah baik ekosistem serta biodiversiti negara.

Sementara itu, Mohd Rahim berkata bagi tahun 2021 dan 2022, Perlis berjaya menanam 696,294 pokok iaitu melebihi sasaran sebanyak 400,000 pokok.
Katanya setakat 31 Mei tahun ini, negeri itu mencatat penanaman 87,037 pokok bersamaan 43.5 peratus daripada sasaran 200,000 pokok setahun.

(Foto Pejabat SUK Perlis)

Related posts

Leave a Comment