Ubah wajah gerai peniaga kecil, penjaja

BANDAR TUN RAZAK 3 Jun – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan menggerakkan usaha untuk mengubah ‘wajah’ penempatan gerai peniaga kecil dan penjaja di seluruh negara.

Beliau mahu golongan peniaga dan penjaja kecil berkenaan mendapat infrastruktur yang lebih selesa, indah dan bersih dalam tempoh sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun ini.

Anwar mahu melihat semua pihak mewujudkan pelan yang selari dengan dasar di peringkat Persekutuan untuk mengangkat martabat dan memberi penghormatan serta ihsan kepada golongan berpendapatan kecil, khususnya peniaga.

“Kita tukar wajah KL (Kuala Lumpur) dalam satu atau dua tahun ini…bila tengok gerai, ia cantik dan bersih.

“Ini harus berlaku di semua kota di negara kita, tidak mahu hanya di KL, di PJ (Petaling Jaya), Klang, Shah Alam, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Kota Bharu dan Alor Setar.

Kita mesti ada dasar jelas… yang membezakan kita adalah kita lebih tunjukkan prihatin pada kelompok peringkat bawah…kita tidak mahu ini dianggap saranan politik tapi mahu tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan D’Anjung Selera Madani, Jalan Jujur, di sini, hari ini yang turut dihadiri isterinya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kerajaan Persekutuan ini bukan soal Jabatan Wilayah Persekutuan, atau Datuk Bandar sahaja, tetapi ia mesti seluruh jentera.

Sebab itu saya berunding dengan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kementerian itu juga ada dasar yang sama supaya pembangunan itu termasuk perumahan rakyat dan gerai-gerai di seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata usaha berkenaan perlu direncanakan segera dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dan ia tidak hanya dilaksanakan di Wilayah Persekutuan.

“Ini tanggungjawab kerajaan, kerajaan negeri, majlis bandar, semua jabatan dan kementerian. Saya mahu lihat dalam beberapa bulan ini rencana bukan sahaja di Kuala Lumpur, Putrajaya, atau Labuan.

“Tetapi (dasar pembangunan peniaga kecil) ini juga (perlu dilaksanakan) di Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Saya tak mahu anggap ini satu saranan politik tetapi kita nak tindakan,” ujarnya.

Anwar pada Januari lalu berkata pihak berkuasa tempatan terutamanya di kawasan bandar, perlu menyediakan kemudahan infrastruktur yang selesa kepada penjaja dan peniaga kecil, agar mereka dapat menjalankan perniagaan dengan suasana kondusif.

Perdana Menteri berkata kemudahan itu perlu disediakan, memandangkan kumpulan berkenaan turut menjadi penyumbang kepada ekonomi negara, menerusi perniagaan yang dijalankan.

Beliau juga dilaporkan telah membincangkan cadangan pembangunan dan menaik taraf infrastruktur serta fasiliti penjaja di Kuala Lumpur dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Anwar pada ketika itu juga mengadakan pertemuan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah dan Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL,  Azmi Abdul Hamid.

Related posts

Leave a Comment