Gunung Sinsing ketiga tertinggi

SANDAKAN 26 Mei –  Gunung Sinsing di Tambunan disahkan sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu dan Gunung Trus Madi, yang kesemuanya terletak di Sabah.

Jabatan Perhutanan Sabah melalui ekspedisi sekumpulan penyelidik baru-baru ini secara rasminya sudah mengukur ketinggian Gunung Sinsing dan mendapati ketinggian puncak gunung itu ialah 2,586 meter (m) dari aras laut.

Untuk rekod ketinggian Gunung Kinabalu adalah 4,095m manakala Gunung Trus Madi 2,642m.

Dalam kenyataan semalam jabatan itu memaklumkan, penyelidik dari Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok bersama wakil Persatuan Komuniti Kampung Nupakan, Tambunan menggunakan peralatan penerima data sistem satelit navigasi global yang lebih tepat iaitu Stonex S900A Global Navigation Satellite System (GNSS) untuk mengesahkan ketinggian puncak gunung tersebut.

“Data ketinggian dicerap melebihi tempoh empat jam pada 10 Mei lalu. Data cerapan kemudian diproses oleh juru ukur berdaftar untuk menentusahkan ketinggian sebenar puncak Gunung Sinsing dari aras laut.

“Dengan menggunakan kaedah itu, didapati ketinggian puncak Gunung Sinsing ialah 2,586m (m.s.l.), sekali gus mengekalkan statusnya sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia dan Borneo,” kata kenyataan itu.

Gunung yang kurang dikenali itu terletak dalam Hutan Simpan Nuluhin Trusmadi, di bawah pengurusan Pejabat Perhutanan Daerah Tambunan serta sebahagian daripada Unit Pengurusan Hutan 10 (FMU10) Projek Pengurusan Hutan Mampan.

Gunung Sinsing sudah menarik perhatian orang ramai sejak 2018 apabila di uar-uarkan menerusi media sosial sebagai puncak ketiga tertinggi di Malaysia dan Borneo, mengatasi Gunung Tambuyukon (2,580m) di Substesen Monggis Taman Kinabalu di Ranau.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan berkata Jabatan Perhutanan akan meneruskan usaha untuk melindungi kawasan berkepentingan seperti Gunung Sinsing yang terletak bersebelahan Gunung Trus Madi.

“Disebabkan ketinggian, hutan pergunungan ini menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna yang unik, yang sebilangannya tidak ditemukan di tempat lain.

“Melalui inisiatif Heart of Borneo (HoB) di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan Sabah, satu ekspedisi saintifik telah dianjurkan bermula pada 14 hingga 20 Mei lepas untuk mengkaji kepelbagaian flora, fauna dan sosioekonomi setempat yang tinggal berhampiran hutan simpan,” katanya.

(Foto Jabatan Perhutanan Sabah)

Related posts

Leave a Comment